Lelaki terjun Sungai Golok ditemukan mati - Utusan Malaysia

Lelaki terjun Sungai Golok ditemukan mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG 26 Dis. – Seorang lelaki yang bertindak nekad terjun ke dalam Sungai Golok ditemukan mati lemas oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba kira-kira 500 meter dari tempat dia dipercayai hilang, hari ini.

Mayat Mohd. Bakri Mat Yusoff, 42, ditemukan pada pukul 3. 25 petang tadi selepas gerakan mencari dan menyelamat (SAR) kembali disambung awal pagi tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Zaimi Selamat berkata, seramai 20 anggota dari PPDA Pengkalan Kubor, Kota Bharu dan anggota Balai Rantau Panjang serta Pasukan Bomba Bantuan Balai Wakaf Bharu telah terlibat dalam operasi berkenaan.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi ini turut mendapat bantuan dari polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pasir Mas,” katanya.

Utusan Online hari ini melaporkan, tindakan nekad seorang lelaki terjun ke dalam Sungai Golok berhampiran pangkalan haram Pak Awang di sini pada petang semalam mengundang padah apabila dia dikhuatiri lemas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, sebelum kejadian l, sepasukan anggota dari Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas sedang menjalankan rondaan mencegah penyeludupan dadah di kawasan berkenaan.

Katanya, setiba di lokasi kejadian, seorang lelaki didapati telah bertindak melarikan diri sejurus melihat kehadiran anggota polis.

“Lelaki berkenaan kemudian terus terjun ke dalam Sungai Golok.

“Selepas menunggu beberapa ketika lelaki ini tidak timbul-timbul,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×