DUNGUN – Tindakan seorang lelaki yang nekad terjun ke dalam muara Sungai Dungun gara-gara panik dengan kehadiran anggota polis semalam berakhir dengan penemuan mayatnya hari ini.
Mayat lelaki berusia 39 tahun itu ditemui tersangkut pada dahan sebatang pokok di tebing Sungai Dungun berhampiran Kampung Nibong Bawah, Kuala Dungun di sini pada pukul 1 petang.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Baharudin Abdullah berkata, mayat nelayan terbabit dijumpai kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia terjun ke dalam sungai di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Dungun di sini.
“Dia yang berada di dalam Kompleks LKIM Kuala Dungun itu telah bertindak terjun ke dalam Sungai Dungun sebaik menyedari kehadiran sepasukan polis yang mahu melakukan pemeriksaan pada pukul 5 petang semalam.
“Walaupun cuba berenang sejauh kira-kira 30 meter, lelaki tersebut tiba-tiba hanyut di bawa arus deras sebelum didapati tenggelam,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. – K! ONLINE










