JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan tiga kenderaan lain, di Jalan Kulai-Kota Tinggi, berdekatan tapak pelupusan sampah Seelong dekat Kulai, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendent Tok Beng Yeow berkata, kejadian berlaku kira-kira 7.40 pagi itu menyebabkan mangsa, Rahim Rauf, 46, yang memandu kereta jenis Proton Iswara meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit.
“Kemalangan turut menyebabkan isteri Rahim yang berumur 38 tahun cedera di pergelangan tangan manakala anak lelakinya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) berusia dua tahun cedera ringan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tok berkata, tiga kenderaan lain yang terbabit dalam kemalangan itu adalah kereta jenis Toyota Harrier dan Perodua Kancil serta lori jenis Hino.
Beliau berkata, kemalangan disyaki berpunca daripada Toyota Harrier dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan yang dipercayai hilang kawalan lalu merempuh kenderaan Rahim.- Bernama










