TAIPING – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan kepala air ketika berkelah bersama keluarga di Air Terjun Burmese Pool, Bukit Larut di sini kelmarin ditemui mati lemas pagi tadi.
Mayat mangsa, M. Jastin, 24, ditemui oleh Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada pukul 10.35 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, dua ekor anjing pengesan tersebut digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari ketiga hari ini dengan lebih berkesan.
“Mayat mangsa ditemui di dasar sungai dalam keadaan tertimbus dengan pasir.
“Ia dijumpai pada jarak 1.5 kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat jatuh sebelum dibawa arus deras disebabkan kepala air,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambah Rafeel, keadaan air sungai yang cetek membolehkan pasukan menyelamat mengesan mangsa namun mereka terpaksa menggali pasir sungai berkenaan untuk mengeluarkan mangsa yang tertimbus.
“Seramai 39 anggota terlibat dalam operasi tersebut termasuk 10 orang daripada Polis Diraja Malaysia dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.52 tengah hari,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan, kegembiraan sebuah keluarga mandi-manda di air terjun Burmese Pool, Bukit Larut di sini bertukar tragedy apabila seorang daripada anggota keluarga itu dikhuatiri lemas. – K! ONLINE










