Lelaki mabuk buat provokasi ditahan - Utusan Malaysia

Lelaki mabuk buat provokasi ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT 31 Dis. – Seorang kontraktor ladang sawit ditahan kerana membuat provokasi dan berkelakuan tidak senonoh apabila hadir di Balai Polis Parit dalam keadaan mabuk bagi membuat laporan polis berhubung kehilangan wang simpanan sebanyak RM5,000, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.10 pagi, lelaki berusia 35 tahun dari Ayer Tawar itu bukan sahaja enggan memberikan kerjasama semasa berada di pejabat kaunter pertanyaan, malah telah meludah di balai serta menyimbah air ke atas seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, lelaki tersebut yang hadir di hadapan balai dengan menaiki trak pikap Nissan Navara dalam keadaan mencurigakan, turut mengeluarkan kata-kata kesat serta berbaur perkauman.

“Anggota polis bertugas telah meminta lelaki berkenaan untuk mengalihkan kenderaannya di bahagian lain kerana mengganggu pandangan di hadapan balai. Namun, lelaki itu telah bercakap dengan nada tinggi dan kurang ajar serta mengeluarkan kata-kata kesat sebanyak lebih tiga kali.

“Anggota polis bertugas bersama seorang lans koperal yang pergi ke kenderaan itu, telah meminta dia supaya bersabar. Bagaimanapun, lelaki itu telah mencurahkan air minuman yang dipegangnya kepada lans koperal berkenaan dan cuba membuat provokasi secara fizikal ke atas kedua-dua anggota polis tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Zainal berkata, suspek yang bertindak agresif kemudian telah ditangkap kerana berkelakuan tidak senonoh, mabuk serta menghalang penjawat awam untuk menjalankan tugas.

Sehubungan itu katanya, suspek telah direman selama empat hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967, Seksyen 186 dan 510 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN