TAIPING 26 Dis. – Seorang lelaki berusia 24 tahun dikhuatiri lemas setelah dihanyutkan kepala air semasa sedang berkelah bersama keluarganya di Air Terjun Burmese Pool, di sini hari ini.
Difahamkan, sebelum kejadian, M. Jastin yang mandi di sungai tersebut bersama lima ahli keluarga lain telah dikejutkan jeritan oleh pengunjung lain mengenai kehadiran kepala air.
Bagaimanapun, semasa hendak naik ke tebing, mangsa yang sempat berada di atas batu tidak dapat menyelamatkan diri apabila dihanyutkan arus deras kepala air.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping dihantar ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat selepas dimaklumkan pada pukul 4.30 petang.
Katanya, operasi pencarian turut dibantu 10 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Anggota bomba bersama agensi bantuan telah berpecah kepada dua kumpulan dan melakukan pencarian di permukaan air berikutan keadaan sungai yang deras dan hujan.
“Operasi pencarian masih lagi diteruskan dan jarak pencarian diperluaskan sehingga tiga kilometer bermula dari lokasi mangsa dihanyutkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










