Lelaki dihanyutkan kepala air ditemukan di dasar sungai - Utusan Malaysia

Lelaki dihanyutkan kepala air ditemukan di dasar sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING 28 Dis. – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang setelah dihanyutkan kepala air semasa sedang berkelah bersama keluarganya di Air Terjun Burmese Pool di sini kelmarin, ditemukan mati lemas hari ini.

Mayat M. Jastin, 24, ditemukan oleh unit anjing pengesan (K9), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada pukul 10.35 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, dua ekor anjing pengesan tersebut digunakan bagi mempermudahkan operasi pencarian yang memasuki hari ketiga hari ini dengan berkesan.

Katanya, mayat mangsa tersebut dijumpai di dasar sungai dalam keadaan tertimbus dengan pasir.

“Mayat mangsa dijumpai pada jarak 1.5 kilometer daripada lokasi terakhir dia dilihat jatuh dibawa arus deras kepala air.

“Keadaan air sungai yang cetek membolehkan pasukan penyelamat mengesan mangsa namun terpaksa menggali pasir sungai itu untuk mengeluarkan mangsa yang telah tertimbus,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang, kelmarin, Jastin yang mandi di sungai tersebut bersama lima ahli keluarga lain tidak sempat menyelamatkan diri apabila dihanyutkan arus deras kepala air.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa segera dijalankan dengan melibatkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping dan dibantu 10 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN