JOHOR BAHRU 12 Dis. – Mi rebus Haji Wahid. satu jenama yang tidak asing lagi bukan sahaja dalam kalangan orang Johor malah juga bagi pengunjung dari luar khususnya Singapura.
Satu legasi Haji Wahid dengan resipi turun-temurun lebih 50 tahun itu kini diteruskan salah seorang cucunya, Norshahrizan Zainal, 36, yang juga Pengarah Urusan ZP Concept Sdn. Bhd.
Norshahrizan kini mengusahakan restoran Zainal’s Place di Jalan Keris, Taman Sri Tebrau di sini yang menyediakan menu utama perniagaan keluarganya itu iaitu mi rebus.
Menceritakan lebih lanjut bagaimana terlibat dalam bidang perniagaan makanan, anak keempat daripada tujuh beradik itu memberitahu, dia bermula sejak kecil apabila membantu bapanya, Zainal Abdul Wahid, 68, di kedai yang diusahakannya sehinggalah dewasa.
Bak kata pepatah, ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Melihat potensi yang ada pada Norshahrizan, Zainal kemudian mendorong anaknya itu membuka perniagaan sendiri dengan mengetengahkan menu mi rebus warisan keluarga tersebut sebagai tarikan.
“Pada peringkat awal, saya mencuba nasib dengan membuka perniagaan di Persint 9 Putrajaya dan boleh dikatakan perniagaan itu berjalan dengan baik sekali.
“Namun pada 2014 saya kembali ke Johor Bahru dan mengambil alih restoran milik bapa saya ini dengan kos sebanyak RM1.2 juta,” katanya ketika ditemui di restoran itu di sini, baru-baru ini.
Berikutan perkembangan perniagaan yang memberangsangkan, dia akhirnya mengambil keputusan untuk membesarkan restoran itu dengan konsep moden pada 2016 dan beroperasi semula dengan wajah baharu pada 2018.
Menyingkap kejayaan dicapai, bapa kepada tiga anak itu yang turut mendapat sokongan daripada isteri, Wani A. Wahid, 36, banyak berguru dengan cef-cef terkenal.
Norshahrizan sentiasa menambah ilmu dengan menyertai pelbagai kemahiran dan kebanyakan menu yang dihidangkan adalah hasil air tangan ibunya, Junaidah Omar, 65, yang pakar dalam masakan tradisional Johor dan sentiasa menjadi rujukan.
Katanya, operasi restoran bermula pukul 7 pagi hingga 5 petang dikendalikan 15 pekerja termasuk orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang dalam pengawasan penjara (parol).
Semua pekerja juga diberikan kursus motivasi dan dilengkapi ilmu penjagaan kebersihan daripada semua sudut di samping mengutamakan perkhidmatan berhemah serta berbudi bahasa.
Mengenai rahisa kejayaannya sehingga berupaya mengembangkan empayar mi rebus Haji Wahid, Norshahrizan berkata: “Menyediakan menu-menu yang memenuhi cita rasa para pelanggan iaitu berkualiti, bersih, enak dengan mengenakan harga berpatutan berdasarkan harga pasaran.”










