KUALA LUMPUR 26 Dis. – Gelombang penolakan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy semakin jelas apabila petisyen yang digerakkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS) sejak sebulan lalu telah berjaya meraih 305,384 tandatangan setakat hari ini.
Bukan setakat dalam media sosial, majoriti rakyat turut menzahirkan perasaan tidak puas hati mereka terhadap Waytha Moorthy melaksanakan tugas mengikut portfolionya dengan mengadakan beberapa siri himpunan di seluruh negara.

Berdasarkan jumlah peserta himpunan tolak Waytha Moorthy yang mencecah ratusan ribu, sudah pasti kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu memandang serius kemahuan rakyat bagi memastikan keharmonian negara terjamin.
Begitupun, kegagalan pemimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu sebagai Menteri Perpaduan masih dipertahankan kumpulan penyokongnya yang menganggap Waytha Moorthy dijadikan kambing hitam.
Namun, harapan kumpulan penyokong Menteri Perpaduan untuk mendapatkan lebih banyak sokongan daripada rakyat tidak kesampaian apabila petisyen yang digerakkan untuk mengekalkan beliau dalam Kabinet hanya mampu mengumpul 33,705 tandatangan setakat laporan ini ditulis.
Pada masa sama, tindakan kumpulan itu yang menyifatkan desakan berkenaan sebagai tanda rakyat tidak dapat membebaskan diri daripada politik perkauman langsung tidak relevan kerana faktor utama Waytha Moorthy perlu dipecat adalah kerana kegagalan beliau untuk memupuk perpaduan antara kaum dalam negara.










