HULU SELANGOR – Lapan lelaki diberkas polis kerana disyaki menjalankan aktiviti memproses samsu haram dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Kaloi, Ulu Yam Bharu di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitendan Lim Bak Phai berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 malam itu, polis turut merampas 142 botol samsu haram pelbagai jenama dan tiga tong yang mengandungi cecair disyaki samsu haram.
“Ketika serbuan dilakukan kesemua suspek sedang mengangkat beberapa kotak yang mengandungi minuman samsu haram dan botol kosong ke dalam sebuah lori yang berada di halaman rumah tersebut.
“Belum sempat mereka meletakkan botol-botol tersebut, kesemuanya yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 38 tahun telah ditahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bak Phai menambah, polis turut merampas dua buah lori yang masing-masing mempunyai 457 dan 237 kotak berisi botol wiski kosong pelbagai jenama.
“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor untuk siasatan kerana disyaki menjalankan aktiviti memproses samsu haram tanpa lesen yang sah.
“Kesemuanya direman selama dua hari bermula hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Membaharui Undang-Undang (Samsu Gelap) 1976,” ujarnya. – K! ONLINE










