KANGAR – Lapan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) cedera apabila kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Land Rover dinaiki mereka terbabas dalam kejadian di Kilometer 33.3 Jalan Wang Kelian – Kaki Bukit dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, dua anggota PGA dari Batalion 2 Kulim mengalami kecederaan parah manakala enam lagi cedera ringan.
Mangsa yang parah ialah penumpang hadapan, Inspektor Mohd. Shahidi Pauzi disyaki mengalami pendarahan pada kepala dan penumpang belakang, Koperal Nassir Kaderi cedera pada tulang leher.
Sementara anggota yang cedera ringan pula ialah pemandu, Konstabel Mohd. Hairie Mohd. Adnan serta penumpang belakang iaitu Koperal Mohd. Syafiq Mohd. Rosli dan Lans Koperal Khairul Anuar Kassim.
Tiga lagi anggota berpangkat koperal yang terlibat ialah Muhammad Hafizuddin Winzi, Mohd. Sharifudin Abdul Majid dan Mohd. Faizol Mohd. Dom.
Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd. berkata, kejadian berlaku ketika Land Rover dinaiki anggota PGA itu menuruni jalan yang berbukit serta mempunyai selekoh dua hala.
“Sebaik tiba di lokasi kemalangan, kenderaan tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan sebelum melanggar penghadang jalan dan sebatang pokok,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk mendapatkan rawatan. – K! ONLINE










