Kuota khas haji dihentikan - Utusan Malaysia

Kuota khas haji dihentikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Amalan pemberian kuota kepada menteri dan ahli Parlimen serta surat sokongan untuk mengerjakan haji telah pun dihentikan mulai musim haji tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh (gambar kecil) berkata, perkara itu dicapai menerusi persetujuan Kabinet supaya kuota 30,200 orang yang diperuntukkan kerajaan Arab Saudi untuk mengerjakan haji dinikmati mereka yang benar-benar layak.

“Apabila kuota ini diberikan pula kepada pihak tertentu, jadi kuota untuk rakyat sudah menjadi semakin sedikit sehingga menyebabkan tempoh menunggu terlalu panjang sehinggakan ada yang sudah uzur baru dapat mengerjakan haji.

“Jika kuota yang diberikan kepada pihak tertentu walaupun jumlahnya hanya 50, kadang-kadang berlaku ada yang menjual kepada mereka yang mahukan kuota haji.

“Akhirnya mereka mengambil hak orang yang layak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Dialog Komuniti Bersama Ahli Parlimen Kuantan di sini kelmarin.

Beliau menambah, pemberian surat sokongan untuk memudahkan permohonan mengerjakan haji juga dihentikan selari dengan keputusan kerajaan Pakatan Harapan yang tidak mahu amalan itu menjadi kebiasaan.

“Jika ada rayuan (dalam permohonan untuk menunaikan haji), kami hanya akan memanjangkannya untuk pertimbangan pihak terlibat, namun ia masih dilakukan mengikut prosedur. Hanya mereka yang layak diberi pertimbangan dan tiada lagi la­yanan khas,” katanya.

– Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×