KEKECOHAN di perkarangan Kuil Sri Maha Mariamman, Siefield, USJ 25, Selangor baru-baru ini bukan sahaja mengejutkan rakyat Malaysia yang hidup aman damai malah menarik perhatian dunia. Media cetak dan elektronik tempatan serta luar negara memberikan liputan meluas.
Media sosial pula menularkan laporan kononnya rusuhan kaum antara orang Melayu dan India tercetus. Bagaimanapun, kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meredakan keadaan apabila beliau memaklumkan kekecohan itu bukan rusuhan kaum tetapi pertelingkahan antara dua pihak.
Menurut Muhyiddin, satu kumpulan orang Melayu berjumlah 50 hingga 150 orang berpakaian hitam telah menyerbu masuk kuil berkenaan pada awal pagi 26 November lalu.
Kumpulan terbabit yang menyerbu masuk telah memukul, mengugut dan memaksa sekumpulan orang yang berada dalam perkarangan kuil supaya beredar keluar dan mengosongkannya.
Menurut laporan polis, lebih kurang 20 orang pemuda India berada dalam perkarangan kuil ketika itu untuk memastikannya tidak dirobohkan oleh pihak pemaju yang menuntut tanah terletaknya kuil tersebut.
Dengan itu, satu pertembungan antara kumpulan yang menyerbu masuk dan pemuda India yang berada dalam kuil telah tercetus hingga mengakibatkan beberapa orang cedera daripada kedua-dua pihak dan harta benda dirosakkan.
Siasatan polis juga mendapati kumpulan orang Melayu yang menyerbu masuk didakwa dibayar oleh peguam pemaju untuk mengosongkan kuil tersebut supaya pihak pemaju dapat mengambil alih lot tanah bangunan kuil tanpa sebarang gangguan dan halangan.
Untuk pengetahuan umum, Kuil Sri Maha Mariamman itu terletak di atas lot tanah milik syarikat Consolidated Plantations Berhad (CPB). Syarikat CPB menjual lot tanah tersebut kepada Sime UEP pada 1987.
Sime UEP yang membeli tanah tersebut dilaporkan gagal mengosongkan kuil untuk projek pembangunan kerana Exco Kerajaan Negeri Selangor ketika itu telah membuat ketetapan dan kelulusan agar pihak pemaju mengekalkan kuil tersebut di lokasi sedia ada malah meminta pemaju sediakan lot tanah untuk projek pembinaan sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil.
Kemudian, pihak Sime UEP dilaporkan menjual tanah berkenaan kepada pemaju One City Development (One City). Pemaju One City juga menghadapi masalah dalam menuntut tanah itu kerana timbul perselisihan faham antara ahli-ahli jawatankuasa pengurusan kuil itu.
Ada pihak yang menyokong kuil tersebut dipindahkan ke tempat baharu dengan syarat pemaju menyediakan lot tanah sebagai pampasan untuk mendirikan kuil baharu. Ada pula yang tidak bersetuju untuk kuil tersebut dipindahkan. Dengan itu, beberapa kes sivil telah difailkan di mahkamah oleh kedua-dua pihak membabitkan kuil tersebut.
Namun sebahagian besar komuniti India tidak bersetuju kuil tersebut dipindahkan. Sehubungan itu, beberapa kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India telah bersatu menubuhkan Pasukan Bertindak Untuk Menyelamat Kuil Siefield.
Pasukan bertindak itu mendakwa kuil berkenaan melambangkan warisan agama Hindu dan kaum India di Malaysia kerana kuil tersebut dipercayai dibina pada 1891, semasa zaman penjajahan British.
Malah wujudnya pokok ara, pokok keramat dalam perkarangan kuil yang direkodkan berusia lebih 140 tahun telah menguatkan dakwaan pihak pasukan bertindak.
Bagaimanapun, pemaju One City menghantar notis pengusiran kepada pengurusan kuil tersebut pada Mei 2017. Tetapi pasukan bertindak memprotes, berdemonstrasi di hadapan bangunan Sekretariat Kerajaan Selangor dan Parlimen malah mogok lapar dalam usaha memastikan kuil tersebut kekal di tempat itu.
Malah ada pihak yang sanggup menggadai nyawa menyelamatkan kuil tersebut daripada dirobohkan pemaju.
Huraian tersebut jelas menunjukkan kekecohan yang tercetus di kuil terbabit bukanlah rusuhan kaum berunsur agama atau politik tetapi lebih merupakan kesan kegagalan dua pihak iaitu pemaju dan pengurusan kuil dalam menyelesaikan kemelut yang timbul antara mereka dengan bijak.
Apa-apa pun, kemelut kuil tersebut yang berpanjangan hampir 30 tahun dapat diselesaikan dengan campur tangan Jabatan Peguam Negara. Pihak pemaju juga akhirnya bersetuju mengekalkan kuil tersebut di tempat sedia ada.
Jadi, peristiwa kuil itu wajar dijadikan pengajaran kepada rakyat Malaysia pelbagai kaum agar berhati-hati dalam menangani masalah-masalah melibatkan sensitiviti kaum dan agama berpandukan Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara.
DATUK M. PERIASAMY ialah penganalisis sosial politik dan pensyarah komunikasi strategik










