IPOH – Seorang anggota polis berpangkat konstabel mengalami kecederaan apabila dia mengelak daripada dirempuh samseng jalanan dalam Ops Samseng Jalan Raya di Kilometer 279 Lebuh Raya Utara Selatan arah Utara berhampiran Plaza Tol Ipoh Selatan di sini awal pagi tadi.
Dalam operasi banteras samseng jalanan tersebut, anggota polis berusia 23 tahun dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh itu mengalami kecederaan di pergelangan tangan dan kaki selepas cuba dirempuh secara berhadapan oleh seorang remaja lelaki.
Difahamkan, dua buah kereta unit peronda polis turut rosak pada bahagian hadapan selepas dilanggar tiga samseng jalanan termasuk seorang remaja berusia 18 tahun menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR.
Remaja tersebut yang dikenali sebagai Mirul ketika ditemui Kosmo! berkata, dia dalam keadaan panik selepas melihat sekatan yang dilakukan polis dan dengan tidak sengaja terpulas pendikit minyak lalu melanggar kenderaan polis.
“Saya menyesal dengan apa yang berlaku. Saya jarang keluar rumah tapi selepas melihat polis, saya tak sengaja terpulas pendikit hingga merempuh kereta polis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, remaja tersebut merupakan salah seorang daripada enam lelaki yang ditahan dalam operasi tersebut selepas melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Enam lelaki berusia antara 18 hingga 25 tahun tersebut ditahan dan motosikal mereka disita untuk siasatan lanjut.
“Sebanyak 194 saman pelbagai kesalahan telah dikeluarkan selepas polis memeriksa 265 orang pengguna jalan raya melibatkan 175 motosikal dan 30 buah kenderaan lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. – K! ONLINE










