PETALING JAYA – Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk S.Sathiya Seelan akan bersara wajib berkuat kuasa esok selepas 40 tahun bersama PDRM.
Katanya, beliau amat terhutang budi dengan PDRM yang antara lain membolehkannya memperoleh Lesen Pemandu Perkhidmatan Kapal terbang Pengangkutan (Pesawat Terbang).
“Saya juga berpeluang menghadiri lebih 70 kursus pelbagai bidang di dalam dan luar negara selain menerima lesen penerbangan profesional sehingga ke tahap lebih tinggi.
“PDRM membentuk saya untuk menjadi lebih disiplin selain memupuk sifat kepemimpinan dan komitmen terhadap tugas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas di PGU Pangkalan Semenanjung di sini hari ini.
Sathiya yang berasal dari Taiping, Perak memulakan kerjaya sebagai pegawai polis dengan pangkat Inspektor ketika berusia 19 tahun sebelum mula menyertai PGU pada tahun 1985.
Majlis tersebut menyaksikan Asisten Komisioner, Nasarudin Abdul Mubin dilantik sebagai Pemangku Komander PGU PDRM yang sebelum ini Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU), Pangkalan Semenanjung.
Majlis serah terima tugas antara Sathiya dan Nasarudin turut disaksikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) (Gerakan), Datuk Zainal Abidin Kasim. – K! ONLINE










