KKM sahkan 21 sampel cili mengandungi residu racun perosak - Utusan Malaysia

KKM sahkan 21 sampel cili mengandungi residu racun perosak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 21 sampel cili yang dijual di pasaran tempatan tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 berkaitan residu racun perosak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah pun menjalankan pemantauan terhadap cili import di pintu masuk negara dan pasaran tempatan. 

“Hasil pemantauan KKM dari Januari lalu hingga kini, 503 sampel cili termasuk cili dari Vietnam telah dianalisis dan didapati 21 sampel cili (4.2 peratus) tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 berkaitan residu racun perosak dan tindakan penguatkuasaan telah pun dijalankan.

“KKM akan meneruskan pemantauan ke atas sayur-sayuran termasuk cili di pintu masuk negara dan di pasaran tempatan bagi memastikan pematuhan ke atas Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan. 

Dr. Noor Hisham berkata, semua makanan yang diimport ke negara ini perlu mematuhi akta-akta berkenaan dan menjadi tanggungjawab pihak terlibat bagi memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×