Kira semula undi Tasek Gelugor - Utusan Malaysia

Kira semula undi Tasek Gelugor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN – Mahkamah Khas Pilihan Raya di sini semalam membenarkan petisyen pengiraan semula undi bagi kawasan Parlimen Tasek Gelugor yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Hashim Hamzah yang turut menetapkan 2 Januari depan sebagai tarikh bagi pengiraan semula undi dan 14 Januari untuk pengurusan kes.

Petisyen itu sebelum ini dibuat calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat, Datuk Marzuki Yahya yang kalah kepada calon BN, Datuk Shabudin Yahaya dengan majoriti 81 undi.

Menurut peguam yang mewakili Marzuki, Muhammad Rafique Rashid Alia, mahkamah telah memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membawa kesemua Borang 14 bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor untuk dipecah meterai dan diteliti oleh peguam kedua-dua pihak di Mahkamah Khas Pilihan Raya pada 2 Januari ini.

Menurut beliau, Borang 14 dari daerah mengundi di Tasek Gelugor itu akan diperiksa bagi menentukan jumlah undi yang tepat yang di­te­­­ri­ma oleh setiap calon.

Katanya, setiap borang akan diperiksa semula berdasarkan rekod rasmi SPR serta salinan yang dipegang oleh BN dan Bersatu.

“Pemeriksaan semula itu juga dijangka dibuat dengan keha­diran pegawai dan peguam SPR yang akan bertindak menyelia proses berkenaan.

“Jika jumlah di dalam Borang 14 yang dimeterai dalam kotak berbeza dengan salinan yang diberikan kepada BN, maka ia akan menjadi janggal,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Borang 14 SPR merupakan dokumen yang mengesahkan jumlah undian calon yang diperoleh daripada setiap pusat mengundi. Difahamkan ia melibatkan sebanyak 136 Borang 14.

Pada PRU-14 yang lalu, Marzuki tewas kepada Shabudin dengan memperoleh 18,466 undi berbanding Shabudin (18,547) dan calon Pas, Rizal Hafiz Ruslan (14,891).

Bagaimanapun, Shabudin pada 14 Disember lalu meng­umumkan keluar UMNO dan BN serta mengisytiharkan sebagai ahli Parlimen bebas, namun beliau tidak mengosongkan kerusi berkenaan.

Pada 12 Jun lepas, Marzuki memfailkan petisyen pilihan raya itu untuk memohon agar Pilihan Raya Kecil bagi Parlimen Tasek Gelugor diadakan.

Selain itu, beliau turut memohon pengiraan undi dibuat semula berikutan dalam Perkara Pera­turan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, calon berhak meminta kiraan semula undi apabila keputusan itu hanya terdapat perbezaan kurang daripada empat peratus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN