Keuntungan syarikat perindustrian China merosot - Utusan Malaysia

Keuntungan syarikat perindustrian China merosot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING 27 Dis. – Keuntungan syarikat-syarikat perindustrian China jatuh buat kali pertama dalam tempoh hampir tiga tahun, sekali gus mencerminkan kesan pertumbuhan ekonomi yang lembab, kejatuhan harga dan perang perdagangan antara negara itu dan Amerika Syarikat.

Menurut Biro Statistik Kebangsaan (NBS) China, keuntungan syarikat perindustrian jatuh 1.8 peratus pada November berbanding setahun lalu, juga merosot 3.6 peratus dari Oktober.

Jumlah keuntungan bagi November adalah 595 bilion yuan (RM359.4 bilion).

Syarikat pengeluar China berhadapan dengan tekanan berikutan pengeluaran menca­tatkan pertumbuhan paling perlahan dalam tempoh sedekad pada November.

Sekiranya perbincangan mengenai perdagangan yang dijangka dilakukan antara AS dan China tidak menemui jalan penyelesaian, kenaikan tarif AS yang lebih tinggi akan memburukkan lagi prospek pertumbuhan industri di China.

“Pertumbuhan yang perlahan dalam jualan serta inflasi ditambah dengan peningkatan kos telah mengakibatkan penurunan dalam keuntungan perindustrian bagi November,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kadar pertumbuhan rasmi tahun ke tahun bagi keuntu­ngan syarikat perindustrian China dilihat mula bercanggah daripada keuntungan nominal yang dicatatkan pada 2017 dan ia terus menjadi isu pada November.

Percanggahan itu menyebabkan beberapa ahli ekonomi mempersoalkan kebenarannya.

Keuntungan bagi 11 bulan pertama naik 11.8 peratus dari tahun sebelumnya kepada 6.12 trilion yuan (RM3.71 trilion).

Dari segi sektor, pelaburan logam perlombongan mencatatkan keuntungan terbesar manakala peleburan logam ferus dan logam bukan ferus merekodkan penurunan terbesar.

Sektor pembuatan mencatatkan kenaikan 9.9 peratus dalam tempoh itu, berbanding 11.5 peratus yang dicatatkan dalam 10 bulan pertama. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN