Kes Adib, wajarkah pemansuhan hukuman mati diteruskan? - Utusan Malaysia

Kes Adib, wajarkah pemansuhan hukuman mati diteruskan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUKUMAN mati bagi 32 kesalahan akan dimansuhkan tidak lama lagi, ini termasuk kesalahan bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Itu jawapan menteri berkenaan di Dewan Rakyat bulan lalu.

Walaupun bila pemansuhan hukuman mati akan berjalan masih jadi tanda tanya, namun dikhabarkan ramai tertuduh jenayah dadah dan bunuh yang berdepan ke tali gantung sudah pasang strategi.

Mereka kini bersedia untuk dibicarakan di bawah seksyen yang membawa hukuman mati, bukan menerima tawaran pengakuan yang membawa pertuduhan hukuman lebih rendah seperti penjara seumur hidup dan sebagainya.

Orang putih kata ‘nothing to lose’ kerana jika kalah di akhir perbicaraan yang makan tahun lamanya itu, congak mereka hukuman mati sudah dimansuhkan. Cuba nasib dulu mana tahu boleh menang sebelum awal-awal mengaku salah. Apatah lagi, makin berat hukuman makin tinggi beban pembuktian.

Namun dengan perkembangan melibatkan Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim yang meninggal dunia kelmarin setelah tiga minggu bertarung nyawa akibat insiden di sebuah kuil di Subang Jaya, apakah hukuman mati akan dimansuhkan?

Jika pelaku yang menyebabkan kematian anggota bomba itu dituduh membunuh sekalipun, apakah setimpal dengan hukuman penjara 30 tahun? Jika ditinjau di media sosial, nyawa harus dibalas nyawa. Ini bukan luar biasa, perundangan jenayah Islam juga prinsipnya begitu.

Oleh itu, pertama, seluruh rakyat Malaysia menanti pertuduhan kesalahan bunuh di bawah Seksyen 302 Keseksaan dan bukan mematikan dengan salah atau dalam bahasa umum disebut membunuh tanpa niat yang membawa hukuman lebih ringan.

Membaca peruntukan kesalahan bunuh di bawah Seksyen 300 Kanun Keseksaan yang hukumannya disebut dalam Seksyen 302, jelas mencukupi elemen untuk pelakunya dituduh bunuh. Ada empat elemen yang diperuntukkan dalam Seksyen 300 yang salah satunya sudah cukup.

Memetik kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika melawat Adib di Institut Jantung Negara pada 28 November lalu, perusuh mempunyai niat membunuh apabila membawa bersama parang, selain melihat pada kecederaan parah mangsa.

Dan berdasarkan sidang akhbar Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Mohamad Hamdan Wahid 27 November lalu, Adib ditarik keluar oleh sekumpulan perusuh dari kenderaan yang sebelum itu mereka telah menerima lontaran batu, kayu dan besi daripada kumpulan berkenaan.

Selepas ini, selesai peringkat siasatan, pasukan pendakwaan di bawah Peguam Negara, Tommy Thomas pula membawa tugas untuk membuktikan mengatasi keraguan munasabah di akhir perbicaraan nanti yang Adib dibunuh sekaligus mengheret pelaku ke tali gantung.

Namun, itu pun andai hukuman mati belum dimansuhkan. Atau mungkin kesalahan bunuh dikecualikan daripada pemansuhan hukuman mati? Tunggu dan lihat. Kalau ditanya rakyat Malaysia ketika ini, hukuman bunuh harus kekal setidak-tidaknya dalam kes bunuh. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN