Kerajaan Perak serius laksanakan pemindahan air ke Bukit Merah - Utusan Malaysia

Kerajaan Perak serius laksanakan pemindahan air ke Bukit Merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERAH 27 Dis. – Kerajaan negeri Perak serius untuk melaksanakan pemindahan air dari Empangan Chenderoh, di Kuala Kangsar melalui Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah sebagai antara usaha menangani kekurangan air jika musim kemarau. 


Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri Abdul Yunus Jamhari berkata sekiranya projek bernilai hampir RM300 juta itu dilaksanakan ia dapat memberi manfaat kepada kira-kira 200,000 penduduk di sekitar kawasan Kerian serta sebahagian Taiping.


“Jika projek ini dilaksanakan ia akan membantu memberi keseimbangan kepada sumber air berterusan untuk kegunaan domestik dan pertanian di kawasan Kerian.


“Sekarang kita bergantung kepada air dari Empangan Bukit Merah dan jika berlaku kemarau ia memberi kesan pengairan di kawasan ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Empangan Bukit Merah di sini hari ini.


Abdul Yunus berkata setakat ini cadangan itu masih dalam proses perbincangan dan pertemuan antara Setiausaha kerajaan negeri Zainal Azman Abu Seman bersama Ketua Setiausaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli Datuk Dr Tan Yew Chong, dua minggu lalu menunjukkan perkembangan positif.


Dalam perkembangan lain, Abdul Yunus berkata semua agensi berkaitan di Perak telah bersedia menghadapi situasi banjir di Daerah Kerian sekiranya berlaku.


”Kita sedia maklum bahawa kawasan ini apabila hujung tahun akan berlaku banjir sehubungan itu semua agensi terlibat telah mengambil maklum dan bersedia menghadapi situasi itu.


”Setakat ini taburan hujan tidak begitu tinggi, paras air di Tasik Bukit Merah masih di bawah paras normal catatan untuk hari ini adalah 27.9 kaki iaitu paras normal adalah 28.5 kaki,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN