Kerajaan arah inkues siasat punca kematian Adib - Utusan Malaysia

Kerajaan arah inkues siasat punca kematian Adib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Dis. – Kerajaan mengarahkan inkues dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim yang meninggal dunia dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Se­langor pada 27 November lalu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas kepadanya menerusi perbincangan selepas dapatan tertentu mengenai sebab kematian Muhammad Adib ditemukan.

“Siasatan pihak polis melalui rakaman percakapan saksi-saksi, lakonan semula dan juga hasil bedah siasat yang dilakukan oleh pihak forensik patalogi menemukan dapatan tertentu mengenai sebab kematian Allahyarham yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.

“Saya telah berbincang de­ngan Peguam Negara mengenai perkembangan kes ini. Peguam Negara memaklumkan beliau selaku Pendakwa Raya dalam menjalankan kuasanya di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah akan meng­arahkan majistret untuk membuat siasatan (inkues) di bawah Bab XXXII Kanun yang sama bagi menentukan sebab kematian Allahyarham,” katanya dalam kenyataan di akaun Facebook miliknya hari ini.

Tambah Muhyiddin, pihak pendakwa raya akan me­­mohon kepada mah­kamah supaya ditetapkan tarikh pendengaran dengan segera dan akan membantu majistret ber­kenaan dalam menjalankan inkues tersebut.

“Dalam prosiding in­kues ini, majistret akan mempunyai kuasa yang luas di bawah Seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah yang memberi erti sebab kematian terma­suk mempertimbangkan bagaimana Allahyarham menemui ajalnya.

“Ini sama ada kematiannya disebabkan atau dipercepatkan oleh apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh orang lain,” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Balai Bomba Subang Jaya cedera parah dalam insiden tersebut dan menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pada 17 Disember lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN