KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang mengalami kemalangan di Thailand bersama isterinya pada 19 Disember lalu menghadapi kesukaran untuk meninggalkan negara tersebut setelah keluarga mangsa warga Thailand yang meninggal dunia dalam kejadian itu menuntut pampasan berjumlah RM200,000 dan bakal dibicarakan di mahkamah tempatan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, Abdul Wahab Yahaya, 56, dan isterinya, Junaidah Muhammad Said, 45, dipercayai bertembung dengan seorang pejalan kaki ketika menunggang sebuah motosikal di Jalan Aonang, Krabi, Thailand.
Berdasarkan undang-undang di negara itu, penunggang motosikal atau pemandu kenderaan adalah bersalah jika kemalangan melibatkan pejalan kaki.
Anak kepada pasangan itu, Amirun Abdul Wahab, 21, memberitahu bahawa ayahnya yang kini dirawat di hospital sudah keluar dan menginap di sebuah hotel bersama abang iparnya, Mohd. Izwan.
“Walaupun ayah sudah keluar, tetapi dia masih perlu menjalani rawatan susulan untuk membuka jahitan di dalam mulutnya dan dalam masa seminggu lagi akan menjalani pembedahan untuk membuka skru di tulang pipinya.
“Ibu pula sudah pulang ke Malaysia semalam dan kini tinggal di rumah kakak saya di Teluk Panglima Garang. Dia juga perlu menjalani rawatan susulan di hospital tempatan kerana mengalami gegaran di kepalanya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.
Amirun menambah, perbicaraan ayahnya akan dijalankan pada 9 Januari ini dan buat masa kini, ayahnya diwakili oleh seorang peguam yang dilantik oleh keluarganya dan pasportnya turut dipegang oleh pihak berkuasa di sana.
“Pada mulanya, keluarga warga Thailand itu meminta pampasan berjumlah 3.6 juta baht (RM580,000) namun setelah berbincang dengan peguam kami, mereka bersetuju untuk mengurangkannya kepada 1.5 juta baht (RM200,000).
“Kami masih buntu untuk menyelesaikan pampasan tersebut memandangkan ayah juga masih tidak sihat sepenuhnya dan akan dibicarakan di mahkamah Thailand tidak lama lagi,” ujar anak keempat daripada enam beradik ini.
Bantuan boleh disalurkan kepada akaun Maybank anak sulungnya, Hasanah Abdul Wahab iaitu 512875516248 bagi membantu mengurangkan beban mereka sekeluarga. – K! ONLINE










