KOTA BHARU 15 Dis. – Playerunknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile East Coast Championship 2019 yang bakal berlangsung pada 5 Januari hingga 3 Februari depan mencipta rekod sebagai kejohanan sukan elektronik (e-Sukan) menggunakan telefon pintar pertama yang pernah dianjurkan di negara ini.
Kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM20,000 dan dijangka melibatkan lebih 3,000 penyertaan itu dikendalikan oleh E-Sports Kelantan Events Management (E-Sport Eskel) bersama Koperasi Waris Kelantan Berhad (Kopwa) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan negeri.
Ketua Kejohanan E-Sport Eskel, Dr. Roy Moheidy Mohd. Zain berkata, kejohanan itu diketengahkan adalah untuk mencari seorang pemain dan skuad handalan mewakili Pantai Timur selain diharap dapat menjadi aktiviti yang boleh menjamin masa depan golongan belia.
Katanya, aktiviti itu kini bukan sekadar untuk mengisi masa lapang malah boleh mendatangkan ganjaran yang lumayan menerusi pertandingan seumpama itu yang sering dianjurkan di luar negara.
“Buat masa ini penyertaan sudah mencecah 3,000 peserta yang mendaftar secara online dan selepas ini, kita merancang memperluaskan penganjuran untuk mencari wakil wilayah Selatan, Utara dan Barat negara pula.
“Dalam pertandingan ini, peserta hanya boleh menggunakan telefon pintar sahaja manakala peserta di bawah 18 tahun perlu mendapat persetujuan penjaga,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Kejohanan Sukan Elektronik Peringkat Negeri Kelantan 2019, di sini hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Mohmad Embong dan Pengerusi Kejohanan, Datuk Dr. Mohd. Zain Yusof.
Sementara itu, Mohmad berkata, permainan video tersebut telah menjadi satu aktiviti yang telah diiktiraf di peringkat global dan diminati ramai.
Jelasnya, dia amat menyokong sepenuhnya penganjuran itu kerana bakat-bakat peserta baharu dan pemain handalan boleh dikesan serta boleh diketengahkan.
“Program sebegini akan diteruskan akan masa datang dan saya berharap mencapai kejayaan sehingga ke tahap liga profesional dan akan membentuk sebuah sistem industri yang memberi kebaikan kepada semua yang terlibat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










