DUNGUN 22 Dis. – Tiga pemilik kebun kelapa sawit di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) dekat sini mengadu kerugian puluhan ribu ringgit apabila kebun mereka musnah diserang gajah liar sejak dua minggu lalu.
Mereka mengadu tanaman yang diusahakan sejak lima tahun lalu itu menjadi sasaran gajah jantan seberat melebihi 1 tan dan haiwan itu dikatakan datang dari kawasan hutan Hulu Paka untuk mencari umbut di dalam batang kelapa sawit.
Menurut mangsa, Awang Ibrahim, 66, dia menyedari kebun sawitnya diserang gajah sewaktu pergi ke situ bersama isteri serta dua anak lelaki mereka untuk membersihkan kebun seluas empat hektar itu.
Dia mengadu sebanyak 130 batang pokok kelapa sawit miliknya yang berusia lima tahun musnah akibat diserang haiwan liar itu mengakibatkan kerugian kira-kira RM20,000.
“Saya percaya gajah ni bukan sekali masuk ke kebun kami kerana pada hari pertama kejadian cuma 60 batang pokok yang musnah, keesokannya kami dapati banyak lagi pokok yang musnah.
“Luluh hati saya dan isteri bila lihat usaha kami selama lima tahun telah musnah dan untuk memulakan semula, mungkin kami tak mampu kerana kami sudah berhabis ribuan ringgit,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. – UTUSAN ONLINE










