Kawalan kemasukan produk babi - Utusan Malaysia

Kawalan kemasukan produk babi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 28 Dis. – Hanya produk berasaskan babi dalam tin yang telah melalui proses rawatan haba tinggi dan tekanan tinggi semasa memasak dibenarkan diimport dari China ke negara ini sejak 12 November lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, langkah itu berikutan keadaan jangkitan penyakit African Swine Fever (ASF) di negara Tembok Besar itu yang agak membimbangkan.

Katanya, lain-lain produk yang tidak dibenarkan masuk seperti pembalut sosej, kepingan daging babi, ‘smoked ham’ dan enzim babi.

“Ladang-ladang babi di Malaysia dinasihatkan untuk tingkatkan biosekuriti ladang dan mengambil segala langkah pencegahan.

“Di samping itu, jabatan juga akan meningkatkan kawalan dan pemeriksaan ke atas ladang-ladang babi yang ada di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) telah diminta untuk mengetatkan operasi kawalan kuarantin di pintu masuk melalui udara dan laut.

Tambahnya, golongan pelancong dilarang membawa masuk produk haiwan ke dalam negara manakala pelancong ke China juga dinasihatkan tidak membuat lawatan ke ladang babi.

“Virus ASF menjangkiti babi tetapi tidak menjangkiti manusia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN