Kapal karam: 2 maut, 1 masih hilang - Utusan Malaysia

Kapal karam: 2 maut, 1 masih hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI 26 Dis. – Kerosakan bahagian jana kuasa menjadi punca tongkang MV Amanda yang membawa muatan batu bersama-sama sembilan kru karam di perairan Tanjung Sepang di sini semalam.

Masalah tersebut menyebabkan bahagian kemudi tidak dapat mengawal kapal itu dalam keadaan ombak kuat sehingga bertembung dengan sebuah kapal lain sebelum terbalik lalu karam kira-kira pukul 2 petang.

Pengarah Maritim negeri, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, kapal yang membawa sembilan kru warga Bangladesh dan China berumur antara 23 hingga 51 tahun itu mendapat bantuan kapal dagang TB HMS 14 yang berada berdekatan lokasi kejadian.

‘‘Seramai enam orang berjaya diselamatkan dan dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Rengit untuk rawatan lanjut manakala dua ditemukan meninggal dunia dan seorang kru lagi hilang,’’ katanya dalam sidang akhbar di Pangkalan Maritim Malaysia Tanjung Pengerang di sini hari ini.

Menurut Aminuddin, mayat dua kru kapal yang maut masing-masing warganegara China, Tang Yaozong, 48, dan warga Bangladesh, Md. Jeher, 47, ditemukan di permukaan laut selepas kapal berkenaan tenggelam sepenuh­nya kira-kira pada pukul 7 petang semalam.

Ujarnya, usaha mencari dan menyelamat seorang lagi kru kapal warga Bangladesh, SM Faruk,28, yang masih hilang giat dijalankan.

‘‘Pasukan penyelam juga bersiap siaga untuk melakukan selaman bagi mencari mangsa yang masih hilang berkemungkinan terperangkap dalam badan kapal,’’ katanya.

Tambah Aminuddin, tongkang yang berdaftar di Malakal Harbour, Palau, Selatan Pasifik itu dalam perjalanan dari Belungkor di sini menuju ke sebuah kawasan pembinaan di Desaru semasa kejadian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×