Kanak-kanak terperangkap di dalam mesin basuh - Utusan Malaysia

Kanak-kanak terperangkap di dalam mesin basuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan terperangkap di dalam sebuah mesin basuh di kedai dobi layan diri di Station 18 di sini Isnin lalu.

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi tujuh minit 11 saat itu tular melalui media sosial Facebook sejak dua hari lalu.  

Video tersebut memaparkan seorang kanak-kanak lelaki pada awalnya duduk di depan penutup mesin basuh.

Bagaimanapun, seorang lagi kanak-kanak telah datang dan menutup pintu mesin basuh tersebut sebelum mendapati pintu mesin tersebut gagal dibuka.

Kanak-kanak itu yang terperangkap kira-kira enam minit berjaya dikeluarkan oleh orang ramai setelah mereka mengumpil pintu mesin dobi tersebut menggunakan batang besi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, pihaknya belum menerima laporan daripada mana-mana pihak berhubung inseden berkenaan. 

“Bagaimanapun siasatan ke atas kejadian tersebut telah dijalankan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil. 

“Telah menjadi kewajipan pihak polis untuk menyiasat sebarang kes dan anggota juga telah pergi ke kedai berkenaan untuk menjalankan siasatan. Sehingga kini tiada laporan polis dibuat oleh mana-mana individu termasuk pemilik premis itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.  

Sementara itu, pengurus kedai dobi yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Kin, 48, berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian yang berlaku pada Isnin lalu itu kira-kira pukul 5.30 petang setelah dihubungi pelanggan dan dia memeriksanya menerusi rakaman CCTV.

Katanya, semasa kejadian tiada kakitangan yang berada di premis tersebut dan apabila pihaknya sampai ke lokasi itu, didapati kedai dobi tersebut telah kosong.

“Setakat ini, hanya sebuah mesin basuh sahaja mengalami kerosakan dan anggaran kerosakan masih belum dikenal pasti. 

“Kita akan panggil juruteknik untuk melakukan pemeriksaan terlebih dahulu,” katanya.

Katanya, dia juga akan membuat satu laporan polis berhubung insiden berkenaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN