LONDON – Dua individu asing menaiki satu penerbangan ke Las Vegas di Amerika Syarikat untuk berkahwin pada Hari Krismas baru-baru ini selepas bertemu buat kali pertama di Lapangan Terbang Gatwick di sini.
Menurut laporan, Sarah Elliott, 34, dan Paul Edwards, 36, tiba di lapangan terbang itu dengan memakai pakaian pengantin selepas berkenalan menerusi satu aplikasi carian jodoh pada 15 Disember lalu.
Pasangan itu melangsungkan perkahwinan mereka di Hotel Bellagio di Las Vegas.
Elliott menyatakan dia menyukai Edwards selepas membaca dan melihat profil selain berpendapat lelaki itu seorang yang jujur berdasarkan tulisan di aplikasi carian jodoh itu.
‘Apabila kami dipadankan, saya terus menghantar mesej kepadanya dan dia terus membalas. Kami bercakap menerusi telefon pada malam Sabtu selama dua setengah jam dan sekali lagi pada pagi Ahad,” katanya.
Kedua-dua individu itu bekerja dalam bidang penyiaran dan pernah berkahwin sebelum ini. Edwards mempunyai dua anak perempuan berumur 13 dan 15 tahun manakala perkahwinan terdahulu Elliott cuma bertahan enam bulan. – Agensi










