Kain batik dengan variasi corak flora sering diperagakan oleh golongan dewasa mahupun golongan yang lebih berusia kerana dianggap pakaian tradisi dan selesa.
Dalam memelihara tradisi itu, kita memerlukan cetusan idea yang cukup kreatif untuk memastikan batik terus diterima masyarakat. Ini kerana rata-rata orang muda tidak berminat memakai batik disebabkan coraknya yang dianggap ketinggalan. Malahan terdapat segelintir daripada mereka tidak pandai memakai kain batik sarung!.
Justeru, dalam meningkatkan perhatian masyarakat, pengusaha batik berlumba-lumba mengeluarkan corak terkini melalui rekaan pakaian seperti baju kurung, jubah, tudung dan baju tidur kanak-kanak.
Berkongsi pengalaman perniagaan sebagai pemborong batik Terengganu sejak awal tahun lalu, Siti Nurulain Alaui, 30, berkata, dia memperoleh idea menghasilkan baju tidur atau lebih dikenali sebagai kaftan khusus untuk kanak-kanak apabila anak sulung perempuannya gemar mengenakan baju batik kelawar.
‘‘Setiap kali berkunjung ke Pasar Payang di Terengganu, anak saya teruja untuk mendapatkan baju batik kelawar bersaiz kecil sehingga dia memilih untuk memakainya ketika kami keluar bersiar-siar. Namun, pada ketika itu saya dapati agak sukar untuk mendapatkan rekaan batik dengan corak yang sesuai untuk anak-anak kecil kerana motif yang dikeluarkan lebih kepada corak bunga dan daun,’’katanya.
Daripada pemerhatian itu, timbul ilham untuk mencipta rekaan corak batik dengan mengambil kira perkara yang digemari kanak-kanak dan belum terdapat di pasaran.
Sehubungan itu, lukisan yang mengandungi elemen ceria dan menarik mata memandang diambil kira agar anak-anak kecil tidak berasa janggal sewaktu memakai kaftan batik.
‘‘Saya menekankan corak kartun kegemaran kanak-kanak seperti Little Pony, Hello Kitty, Frozen dan Mickey Mouse. Apabila saya memuat naik gambar pertama anak perempuan mengenakan kaftan bercorak kartun, saya tidak menyangka pengikut di laman sosial turut tertarik dan meminta untuk mendapatkannya,’’ujarnya.
Tambahnya, idea kreatif itu mampu memberikan pembaharuan terhadap pandangan individu mengenai batik kerana terdapat unsur moden, terkini dan kelihatan cantik apabila digayakan.
Kaftan adalah baju kelawar yang kebiasaannya dipakai oleh wanita pada waktu malam. Kanak-kanak pula, menganggap baju berkenaan sama seperti jubah.
Dalam pada itu, aspek keselesaan dititikberatkan dalam setiap kaftan yang dihasilkan agar pemakai tidak berasa panas.
‘‘Penggunaan kain adalah daripada material Fuji iaitu seakan-akan kain kapas, namun sedikit keras dan berkilat yang sesuai digunakan untuk tujuan santai. Kain jenis itu juga lebih tahan lasak, warna tidak luntur dan tidak mudah mengecut biarpun dibasuh beberapa kali,’’ tambahnya.
Menurutnya, pemilihan warna pula adalah kontra iaitu kombinasi warna-warna menyerlah yang dipadankan bersama kombinasi ton warna yang berbeza. Contohnya, warna latar belakang kain adalah kuning manakala corak kartun mungkin menggunakan warna biru atau merah jambu. Kombinasi warna ini mampu menaikkan nilai estetika pemakai dan sesuai untuk kanak-kanak,’’tambahnya.
Kongsinya lagi, antara rekaan corak yang mendapat perhatian pelanggan adalah tembikai, ais krim dan flamingo. Ia menjadi pilihan kerana menyerlahkan lagi kecomelan anak-anak.










