SAAT menikmati juadah makan tengah hari, diri bagaikan terbuai dengan hembusan bayu dari pantai Bagan Lalang, Sepang, Selangor.
Sesuai benar dengan namanya, Kafe Sepoi-Sepoi menggamit pengunjung ke Avani Sepang Gold Coast Resort.
Seperti biasa, makanan dan minuman menjadi antara tarikan utama sesebuah hotel dan resort walau di mana sahaja.
Kafe Sepoi-Sepoi juga tidak ketinggalan menyajikan bukan sahaja pelbagai menu yang bukan sekadar mengisi perut yang kosong tetapi menyelerakan sesuai dengan citarasa pengunjungnya.
Hamparan lautan biru juga menjadi permandangan istimewa yang memanjakan mata para tetamu di kafe yang terletak di sebelah pintu masuk utama resort berkenaan.
Restoran itu yang beroperasi sejak hotel bertaraf lima bintang itu dibuka kira-kira 10 tahun lalu menjadi antara tarikan utama yang tidak dapat ditolak jika berkunjung ke pantai Bagan Lalang.
Bagi yang mahu sedikit suasana mewah dan layanan lima bintang, Kafe Sepoi-Sepoi menjadi pilihan apabila berkunjung ke pantai itu.
Dibuka dari pukul 7 pagi sehingga 10 malam, kafe itu menyajikan pelbagai sajian tempatan dan antarabangsa.
Bermula menu untuk sarapan sehingga ke makan malam, kafe itu sedia menerima pengunjung yang mahu menjamu selera ditemani angin sepoi-sepoi bahasa.
Antara yang menarik termasuk nasi daun pisang yang dihidangkan dengan masala kambing, ayam goreng Madras, varuval ayam, ikan goreng dan sayur kacang panjang goreng.
Menu itu menjadi pilihan istimewa untuk promosi pada bulan November lalu.
Menurut Penolong Pengurus F&B Avani Sepang Gold Coast Resort, George Joseph, setiap bulan kafe itu akan menyajikan satu menu istimewa.
“Kita menerima bukan sahaja pelanggan yang menginap di resort ini malah mereka yang singgah ke Bagan Lalang untuk menikmati juadah bertaraf lima bintang di sini,” katanya.
Menurutnya, terdapat lebih 40 menu tersedia untuk pilihan pelanggan di Kafe Sepoi-Sepoi.
Antara yang istimewa dan menjadi tarikan utama termasuk nasi kambing kuzi ala Arab, masakan Barat, nasi ayam Hainan, nasi goreng dan mi goreng.
Chef Eksekutif Avani Sepang Gold Coast Resort, Mohamad Chandran Narayanan pula berkata, menu-menu yang disediakan juga tergolong dalam kategori menu sihat.
Antaranya minuman jus seperti ABC epal bitrut yang disajikan sebagai pencuci mulut.
“Kami juga menyajikan pencuci mulut paling istimewa seperti gelato ais krim yang diperbuat daripada susu kambing,” katanya.
Selain itu, Bagan Lalang juga mencetuskan inspirasi kepada kafe itu untuk mencipta menu lain daripada yang lain iaitu ais krim pisang bakar yang dicampur dengan madu dan gula perang khas.
Selain Sepoi-Sepoi, resort itu juga menyediakan beberapa lagi ruang makan iaitu Restoran Perahu, Kafe Bila-Bila, Restoran Hai Sang Lou, Pantry At Avani dan Restoran Stimbot.










