Year End Sales (Y.E.S) atau Jualan Akhir Tahun merupakan perkara yang sering ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia pada setiap tahun. Siapalah yang tidak suka jualan murah hingga potongan harga sebanyak 80 peratus? Baru-baru ini, saya telah mengadakan Jualan Akhir Tahun di cawangan Ipoh, Kelantan serta dalam media sosial.
Promosi ini telah mendapat sambutan luar biasa bukan sahaja daripada penduduk tempatan tetapi dari Singapura. Ramai peminat dan pengguna produk Qu Puteh menghubungi saya melalui aplikasi WhatsApp, Facebook dan Instagram, bertanyakan bila agaknya akan diadakan jualan promosi di tempat mereka.
Persoalannya, bolehkah kita mendapatkan keuntungan yang banyak daripada jualan murah seperti ini? Oleh itu, dalam penulisan minggu ini saya akan berkongsi mengenai kebaikan dan keburukan yang diperoleh melalui aktiviti jualan murah atau jualan promosi akhir tahun seperti ini.
Meyakinkan pembeli untuk membuat pembelian bukan satu tugas yang mudah. Sebelum membeli sesuatu produk, pengguna biasanya akan membuat perbandingan bagi setiap produk yang berbeza.
Bagi sesetengah pengguna, harga adalah penting diikuti dengan kualiti produk tersebut serta perkhidmatan tambahan yang ditawarkan (seperti pemberian produk secara percuma atau penghantaran percuma).
Oleh itu, perlulah berhati-hati dan merancang secara teliti sebelum mengadakan promosi jualan tertentu bergantung pada matlamat perniagaan anda.
Untuk pengetahuan anda, jualan promosi adalah penting bagi setiap perniagaan atau syarikat yang ingin meningkatkan hasil jualan dan menarik minat prospek untuk membeli produk keluaran terutamanya produk baharu.
Kelebihan
- Keperluan Segera
Kebiasaannya promosi jualan mampu menarik perhatian prospek untuk membeli produk atau melanggan perkhidmatan tertentu. Perkara yang membezakan bagi setiap syarikat adalah melalui persaingan harga.
Apabila promosi jualan ditawarkan dalam tempoh yang terhad, ia mampu mewujudkan keperluan segera dalam kalangan pelanggan kerana mereka perlu bertindak sebelum habisnya tempoh promosi.
Oleh itu, jualan promosi hanya perlu dilakukan secara eksklusif pada waktu tertentu sahaja dengan jumlah kuantiti yang terhad. Ia perlu dilakukan hanya beberapa kali dalam setahun bergantung pada majlis-majlis tertentu atau pun jualan akhir tahun sahaja.
Sebagai contoh, bagi setiap aktiviti jualan promosi yang dilakukan, saya akan menetapkan tempoh waktu jualan (Happy Hour) pada harga istimewa yang hanya boleh didapati dalam tempoh tersebut.
Dengan penetapan tempoh dan stok yang terhad, beratus-ratus pelanggan telah bersedia untuk mendapatkan produk-produk saya. Dalam masa yang sama aktiviti promosi seperti ini mampu meningkatkan hasil jualan dalam tempoh yang singkat.
- Mengekalkan Aliran Jual Beli
Mengekalkan aktiviti jual beli antara pengedar dan peruncit juga merupakan salah satu kelebihan jualan promosi. Ia sesuai untuk memasarkan produk yang mempunyai jangka hayat pendek atau pun panjang.
Stok produk yang mempunyai jangka hayat pendek sentiasa perlu diperbaharui dengan stok produk baharu dibuat. Ini mampu menggalakkan pengguna atau pengedar membeli produk dalam kuantiti yang banyak.
Dalam masa yang sama, pastikan syarikat mempunyai bekalan jualan yang mencukupi bagi memenuhi permintaan semasa. Kebiasaannya, peruncit atau pengedar akan membeli mengikut kekerapan sesuatu produk yang telah terjual di pasaran.
Dan jika kadar jualan produk tersebut sangat perlahan, para peniaga atau pembekal cenderung untuk membeli produk ini secara berkala dan kemungkinan besar mereka tidak akan membeli stok anda dalam kuantiti yang banyak.
- Memaksimumkan Ruang Penyimpanan
Pemilik syarikat selalunya akan kusut memikirkan di manakah harus menyimpan stok produk-produk terbaharu. Lebih-lebih lagi usahawan seperti saya yang sentiasa mempunyai idea untuk menghasilkan produk baharu dan terkini mengikut aliran pasaran semasa.
Salah satu cara untuk menambah ruang dan mengurangkan kos penyimpanan produk adalah dengan mengadakan jualan promosi secara berperingkat. Selalunya saya akan lakukan jualan promosi ini bergantung pada kapasiti gudang yang terletak di Jelapang.
- Memperkukuh Hubungan dengan Pelanggan Setia
Selama lebih sedekad kewujudan syarikat Vida Beauty di Malaysia, tidak dinafikan bahawa kami mempunyai ribuan pelanggan setia yang sentiasa membeli dan menyokong produk dari dulu hingga kini.
Salah satu cara untuk menghargai adalah dengan mengadakan jualan promosi yang mana membolehkan mereka membeli produk Vida Beauty pada harga yang lebih rendah daripada harga jualan biasa. Biasanya jika ada jualan gudang, saya akan hadir dan bertemu dengan pengguna setia serta peminat bagi menghargai dan mengenali mereka dengan lebih dekat.
Selain itu, diskaun yang diberikan dalam tempoh promosi juga mampu menarik pelanggan baharu dan seterusnya, mereka dapat membantu perniagaan anda dengan kekal sebagai pelanggan yang setia.
- Memperbaiki Imej Syarikat
Sejak akhir-akhir ini, saya sering dikaitkan dengan isu-isu negatif yang kurang menyenangkan. Sekali gus ini telah menjatuhkan reputasi syarikat dan mengurangkan hasil jualan bulanan.
Disebabkan itu, saya mengambil keputusan untuk mengadakan jualan promosi bagi menambat hati pengguna lama dan baharu. Saya memang tidak menjangkakan bahawa jualan promosi ini mendapat sambutan yang luar biasa. Beratus-ratus pengguna sanggup datang awal dan berpusu-pusu untuk mendapatkan produk-produk saya pada harga yang istimewa.
Keburukan
- Salah Faham
Seperti kebanyakan promosi jualan, sebagai pemilik syarikat kita tidak akan mendapat manfaat yang banyak dan terdapat risiko yang perlu diambil kira. Aktiviti promosi jualan sesuatu produk perlu dirancang dan diuruskan dengan berhati-hati agar ia benar-benar berkesan.
Promosi jualan haruslah diiklankan dan diuar-uarkan secara sistematik dan terperinci melalui media elektronik, media cetak dan media sosial agar pengguna tidak berasa tertipu.
- Harga Terlalu Rendah
Perbezaan harga yang terlalu rendah boleh mendatangkan keburukan pada prestasi jualan sesuatu produk. Sebagai contoh, jika harga jualan biasa produk tersebut adalah RM50 dan harga promosi jualan pula adalah RM5. Ia perbezaan yang tinggi bagi kedua-dua harga.
Jualan promosi yang dilakukan secara kerap akan menyebabkan pelanggan membeli produk tersebut pada tempoh promosi sahaja dan tidak akan membeli pada harga runcit biasa.
Jadi kepada pelanggan di luar sana, jika terdapat mana-mana jualan promosi rebutlah peluang untuk membeli kerana pada ketika inilah pihak syarikat atau pembekal akan menjual produk mereka pada harga yang istimewa dan lebih rendah berbanding harga jualan biasa.
Bagi pemilik syarikat dan pembekal pula, untuk mengadakan jualan promosi ini kadang-kala terpaksa menjual produk dengan harga kos ataupun harga rugi tetapi anggap sahaja bahawa promosi ini adalah untuk menghargai pengguna setia agar mereka akan terus tetap setia dan menyokong perniagaan syarikat anda di masa hadapan.
Dalam masa sama, ia mampu menghabiskan stok lama yang akan tamat tempoh dalam waktu terdekat daripada anda menyesal menanggung kerugian kerana menyimpan stok lama tanpa berbuat apa-apa.










