Jepun platform Hadi kejar impian - Utusan Malaysia

Jepun platform Hadi kejar impian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Dis. – Peluang beraksi bersama kelab divisyen dua Jepun, Fagia­no Okayama dianggap platform terbaik buat bintang pe­nyerang skuad bawah 19 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak untuk mengembangkan karier bola sepaknya.

Penyerang tinggi lampai itu menandatangani perjanjian setahun bersama Fagiano hari ini selepas menjalani dua sesi latihan bersama tersebut.

“Alhamdulillah, saya sangat gembira berjaya menempatkan diri dalam kelab ini. Ia memang cita-cita saya sejak kecil (mahu beraksi bersama pasukan luar negara) dan juga satu permulaan baik untuk meningkatkan kemahiran diri.

“Jepun antara negara bola sepak terbaik di Asia dan mereka mempunyai program pembangunan yang tersusun,” katanya dalam majlis menandatangani kontrak bersama Fagiano di Pusat Latihan Masada Okayama, Jepun hari ini.

Sebelum sah bergelar pemain Fagiano, Hadi Fayyadh terlebih dahulu menjalani dua sesi percubaan bersama kelab tersebut pada September dan November lalu.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu adalah bintang bola sepak Malaysia terbaharu diberi peluang beraksi di negara matahari terbit itu.

Selain Hadi Fayyadh, dua lagi pemain yang pernah me­nyarung jersi kelab Jepun adalah Wan Zack Haikal Wan Noor dan Nazirul Naim Che Hashim untuk FC Ryukyu pada 2013.

Mengulas lanjut, Hadi ­Fayyadh berkata, sasaran seterusnya adalah merebut tempat kesebelasan utama dalam perlawanan akan datang.

“Pemain di sini sangat bagus, berani untuk belajar perkara baharu dan tidak takut membuat silap. Mereka mempunyai kemahiran yang baik, laju dan saya merasakan bahawa saya boleh menjadi pemain yang baik jika bersama mereka di sini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Urusan Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd., Hiroshi Hamada yang membuka jalan dan membantu saya mendapatkan tempat di sini,” jelasnya.

Yakult telah menjadi penaja rasmi bagi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Institut Sukan Negara (ISN), yang mana minuman kultur itu diiktiraf sebagai minuman rasmi bagi dua organisasi ­terbabit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×