Jenazah Al-Azim dikebumi di Kalumpang, Selangor - Utusan Malaysia

Jenazah Al-Azim dikebumi di Kalumpang, Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 27 Dis. – Ketua Polis negeri, Datuk Aidi Ismail bersama kira-kira 100 pegawai kanan serta ketua jabatan polis negeri memberi penghormatan terakhir ke atas Allahyarham Al-Azim Abd. Majid di Surau Perumahan Polis di Padang Hiliran, di sini hari ini.

Sebelum itu, jenazah dimandi dan dikafankan di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Allahyarham Koperal Al-Azim yang merupakan anggota polis pengiring rapat kepada Sultan Terengganu meninggal dunia pagi tadi akibat sesak nafas selepas menjalani latihan kecergasan di Bukit Maras, Kuala Nerus.

Difahamkan, Al-Azim, 34, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan HSNZ kira-kira pukul 11 pagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi semasa mangsa bersama beberapa rakan setugas dari Cawangan Keselamatan Istana, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu menjalani latihan kecergasan di kawasan rekreasi berkenaan.

“Ketika hampir sampai di puncak bukit itu, mangsa mengadu sesak nafas sebelum rebah dan tidak sedarkan diri.

“Rakan setugasnya kemudian memberikan bantuan kecemasan dan menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan, sebelum Al-Azim dibawa turun dari bukit dengan bantuan anggota bomba,” katanya ketika dihubungi di sini.

Jelasnya, Al-Azim kemudian dikejarkan ke HSNZ dengan menaiki ambulans, namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11 pagi ketika menerima rawatan.

“Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kampung halamannya di Taman Tempua Bestari, Kalumpang, Hulu Selangor untuk dikebumikan.

“Arwah meninggalkan seorang balu, Farhana Hazhwani Kamaruddin, 31, dan tiga anak berusia enam, 11 dan 12 tahun,” katanya.

Katanya lagi, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN