KETUA jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Paulus Firman tidak rela melihat gandingan No. 1 negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong ‘angkat kaki’ daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Masa depan bekas beregu lelaki No. 1 dunia itu di BAM menjadi tanda tanya selepas Wee Kiong mengakui ada memiliki hasrat untuk keluar dan bergerak secara profesional, namun masih belum ada kata putus.
Justeru, Paulus berharap anak-anak buahnya itu akan kekal di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara tetapi beliau tidak menghalang sekiranya V Shem-Wee Kiong memilih untuk keluar.
“Jika mengikut pandangan peribadi, sudah tentu saya mahu mereka terus kekal di BAM. Saya sendiri sudah menyatakan komitmen sedia bersama mereka untuk menempuhi sebarang cabaran yang bakal melanda.
“Bagaimanapun, jika mereka tetap dengan hasrat meninggalkan BAM dan mempunyai alasan tersendiri, saya akan hormatinya. Mungkin mereka mampu beraksi lebih baik apabila berada di luar nanti,” kata Paulus.
Tambah jurulatih dari Indonesia itu, walaupun kedua-dua pemain berkenaan ada menyatakan kemahuan untuk meninggalkan BAM, namun Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun masih menjadi sasaran utama mereka.
Pada masa sama, Paulus percaya pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 di Rio, Brazil itu masih belum menghantar surat peletakan jawatan rasmi kepada Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.
“Matlamat mereka masih tidak berubah iaitu melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020. Saya serahkan kepada mereka untuk buat keputusan kerana saya tidak mahu jadi penghalang.
“Saya juga tidak rasa mereka sudah menghantar surat permohonan untuk keluar daripada BAM. Mungkin mereka masih menilai beberapa tawaran yang dikemukakan,” tambah beliau.
Pengumuman yang dibuat BAM untuk mengecilkan skuad bermula Januari depan baru-baru ini mungkin dianggap sebagai salah satu punca beberapa pemain utama negara mengambil keputusan meninggalkan badan induk itu.
Sebagai rekod, beregu campuran No. 1 negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying; pemain beregu wanita, Woon Khe Wei dan bekas juara perseorangan lelaki kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin sudah mengambil keputusan meninggalkan BAM.










