Jangan nafi hak orang bujang - Utusan Malaysia

Jangan nafi hak orang bujang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KU sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Begitulah nasib yang menimpa golongan bujang di negara ini apabila hak mereka dinafikan 100 peratus untuk menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 pada 28 Januari depan.

Jika sebelum ini golongan bujang yang meraih pendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM450, tetapi dengan semangat ‘Malaysia Baharu’, tiada lagi bantuan tunai untuk mereka.

Ini jelas apabila orang bujang, sama ada mempunyai tanggungan atau tidak telah digariskan di bawah kategori pemohon yang tidak layak menerima BSH.

Dalam hal ini, kerajaan perlulah bersifat realistik terhadap kedudukan ekonomi golongan bujang yang hakikatnya tiada beza pun dengan mereka yang telah mendirikan rumahtangga.

Malah bukanlah sesuatu yang janggal di negara ini apabila golongan bujang mempunyai tanggungjawab melebihi mereka yang berkeluarga, seperti menanggung orang tua yang uzur dan menjaga seorang dua anak angkat.

Bersikaplah adil kepada semua tanpa meminggirkan mana-mana golongan sekali pun, mungkin pemberian BSH untuk golongan bujang harus bersasar seperti mengenakan had umur.

Sama ada kerajaan terlupa bahawa orang bujang juga sebahagian daripada anggota masyarakat dan sudah tentu ada sebab musabab tertentu yang menyebabkan mereka masih belum berkahwin.

Mungkin selama ini mereka masih mengumpul wang untuk mengadakan majlis perkahwinan, tetapi apabila kelayakan untuk menerima BSH dinafikan, pastinya kewangan mereka lebih terbeban. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN