Jangan mengaku duda kalau takut isteri - Utusan Malaysia

Jangan mengaku duda kalau takut isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH lama saya mengikuti cerita tentang pengalaman pahit kehidupan pasangan yang berumah tangga. Sepanjang yang saya baca tidak ada satu pun cerita wanita yang melahirkan isi hati mereka bahagia dalam perkahwinan, semuanya ada masalah. Rasanya kalau yang bahagia tentu mereka tak baca sebab tak kena mengena dengan diri mereka.

“Tetapi berbeza dengan saya, sejak gadis lagi, saya sudah baca kisah DCCK. Puncanya kakak saya meminati ruangan ini. Katanya, bila dia baca masalah orang lain, dia berasa sedikit gigih dalam mengharungi kehidupannya yang amat pahit berpisah dengan suami kerana berkahwin dengan wanita lain.

“Walaupun saya tahu dan sentiasa membaca cerita kisah hidup wanita yang bermasalah, tetapi saya tak pernah terfikir dan menduga mungkin satu hari nanti saya juga menghadapi masalah yang sama. Kerana saya rasa sudah cukup faham dan matang tentang masalah suami isteri dan saya yakin boleh mengatasinya dan tidak akan melakukan kesalahan yang sama. Tetapi bila kita merancang Allah menentukan, bila terkena batang hidung sendiri, baru saya tahu langit ini memang tinggi.’’ Itu cerita Nor Chempaka ketika bercerita dengan penulis, sebab dia tertarik dengan Kumpulan Sokongan Ibu Tunggal (KSIT).

“Kalau dulu saya salahkan kakak mengapa dia minta cerai setelah suaminya berpoligami. Patutnya kakak pertahankan perkahwinannya biar isteri muda yang bercerai. Sebab kakak dah ada tiga orang anak. Tetapi kata kakak dia tak tahan perangai suaminya bukan sahaja tak bagi nafkah, lebih teruk lagi dia suka pukul kakak. Selain itu dia terpaksa uruskan keluarga sendirian kerana suaminya bertugas tempat lain.

“Biarpun suaminya balik dua atau tiga minggu sekali tetapi dia lebih selesa kalau suaminya tak balik langsung. Bagi kakak, dia lebih rela bercerai daripada bermadu.

“Setelah bercerai kakak pindah menyewa rumah, keluar dari rumah kerajaan yang didiaminya semasa berkahwin. Saya dan emak sering menemani kakak. Dipendekkan cerita akhirnya saya pulak terikut nasib kakak. Tetapi yang lainnya, bukan suami saya nak berpoligami, sebaliknya saya yang berani bercinta dan berkahwin dengan suami orang.

“Masa mula bercinta saya langsung tak tahu teman lelaki saya ini ada isteri, katanya dia duda, tiga anak. Kebetulan jumpa saya dan dia rasa saya amat sesuai jadi ratu hatinya.

“Saya yang tak sedar diri ini, cepat pulak percaya, sebab dia tunjukkan semua gambar bekas isterinya dan anak-anaknya. Dia tak kutuk isterinya, mengapa mereka bercerai. Katanya itu sudah takdir, dan dia harap saya terima dia sebagai suami.

“Kerana pujukan dan percaya, saya terima lamarannya. Saya beritahu emak nak kahwin tetapi kakak bantah, katanya jangan cepat percaya, betulkah dia duda atau nak jadikan saya isteri kedua?. Saya nafikan, sebab percaya cerita kekasih hati saya bernama Azmer ini.

“Tetapi bila keluarga minta majlis kahwin dan persandingan diadakan, mulalah Azmer mengelak. Pelbagai alasan muncul, maka kakak confirm bahawa Azmer suami orang. Pujuk punya pujuk, tanya punya tanya akhirnya Azmer mengaku dia bukan duda. Ketika itu hubungan kami sudah akrab sukar diputuskan. Sebab dah kenal hampir dua tahun.

“Kakak bantah saya kahwin dengan Azmer. Macam tak ada lelaki lain. Emak suruh putuskan, tetapi cinta punya pasal saya ingkar, saya ikutkan kata hati, kerana sayang.

“Cinta membutakan hati dan mata saya. Akhirnya dengan pujukan Azmer saya kahwin lari ke Siam. Sebab keluarga bantah. Kata Azmer lepas tiga bulan dia akan daftarkan perkahwinan kami di negeri ini.

“Lepas kahwin memang saya jarang balik jumpa emak. Kalau balik pun saya seorang, dan hubungan saya dengan keluarga tak mesra seperti dahulu, saya rasa terpinggir. Apa nak buat! Cinta punya pasal!

“Tepat seperti dugaan emak, dah lebih tiga tahun nikah, perkahwinan kami masih belum didaftarkan lagi. Saya mula bimbang kalau dah terlampau lama makan pil perancang nanti saya langsung tak boleh beranak. Akhirnya dengan berani saya daftarkan sendiri perkahwinan di negeri ini. Apa lagi perang besarlah saya dengan Azmer. Sebab dia suruh tunggu dia pujuk isterinya supaya setuju dan tak marah kami kahwin.

“Sejak saya daftarkan perkahwinan sikap Azmer semakin berubah, dia jarang balik rumah saya. Alasannya saya ingkar. Tetapi sebenarnya Azmer memang sayangkan keluarganya. Anak-anak dah besar, yang sulung sudah bekerja, dua lagi dah masuk IPTS. Kerana sunyi isterinya ambil seorang anak angkat berumur 8 tahun.

“Kerana sakit hati dengan sikap Azmer saya jalankan siasatan. Terbukti cerita dia kahwin paksa semuanya bohong. Sebaliknya hidupnya banyak bergantung kepada keluarga isterinya, malah dia bekerja dengan keluarga mentuanya. Bisnes yang dia jalankan pun milik keluarga isterinya, patutlah Azmer tak berani bercerita tentang perkahwinan kami pada isterinya, walaupun ketika itu hampir empat tahun kami nikah. Sedarlah saya selama ini saya ditipu.

“Ketika itu menyesal pun tak guna, Kerana sakit hati saya buat keputusan ingin anak sendiri. Ramai kawan pejabat tahu rahsia saya, memang sengaja saya sebarkan. Biasalah bukan semua yang suka.

“Dalam pada itu saya juga dapat banyak rahsia Azmer. Selama ini Azmer jalankan perniagaan keluarga isterinya. Bukan bisnes dia sendiri, dengan kata lain, dia bekerja dengan bapa mentuanya, dan kemudian bisnes tersebut diserahkan kepada abang iparnya, jadi tepatlah bukan bisnes Azmer sendiri.

“Pendek kata kalau isterinya tahu dia kahwin lagi, dan isterinya minta cerai, sudah pasti Azmer kena tendang keluar dan jadi penganggur, sebab itu dia tak mahu rahsia kami pecah. Untuk menutup maruahnya, dia jadikan saya isteri simpanannya tak lebih daripada itu, bezanya kami sudah nikah secara sah di Siam dan saya sudah daftarkan di negeri ini.

“Kerana kedegilan saya juga akhirnya hamil. Sejak itu Azmer langsung tak balik rumah. Kalau dulu dia beri duit setiap bulan untuk makan minum selain belikan saya kereta serta sewakan rumah tetapi sejak saya hamil dia tak bayarkan sewa rumah lagi, duit nafkah pun dia beri bila saya minta. Memang saya mampu tanggung diri sendiri, tapi apa gunanya ada suami. Enam bulan lamanya saya bersabar hingga melahirkan anak.

“Semasa bersalin Azmer langsung tak datang, begitu juga ketika dalam pantang. Habis pantang saya nekad akan dedahkan rahsia kepada keluarganya jika dia masih sembunyikan rahsia kami. Saya sedia terima apa juga akibatnya, asalkan matlamat saya tercapai. Yang pasti anak saya berbinkan Azmer. Memang saya ugut Azmer jika dia tidak mahu bagi nafkah rahsianya akan saya bongkar kepada keluarganya.

“Mungkin kerana takut dan dalam keadaan tertekan, Azmer terpaksa beri nafkah. Sebab saya tahu dia takut. Setahun lamanya Azmer beri nafkah. Tetapi setelah rahsia kami pecah saya pulak diserang oleh isteri Azmer di rumah dan di pejabat hingga terpaksa saya buat laporan polis. Kerana saya tak mahu saya diganggu ketika bekerja.

“Saya tak peduli dia tuduh saya rampas suami orang ke! Perempuan $*&%^@(* ke atau apa sahaja, yang penting dia tahu saya isteri Azmer yang sah dan dia bermadu. Dan anak saya lebih berhak bukan anak angkat kesayangannya itu.

“Saya pun tak peduli kalau Azmer tak balik dan tak tengok anaknya. Yang penting dia beri nafkah, jika tidak saya ugut dia akan saman ke mahkamah syariah. Jadi kalau dia tak malu dan masih berdegil bersedialah ke mahkamah.

“Saya juga nekad kalau isterinya suruh ceraikan saya pun saya tak kisah. Tetapi dia mesti ingat dia mesti beri nafkah untuk anaknya setiap bulan. Saya pun sudah bersedia akan ke mahkamah kalau dia masih berdegil. Saya tak mahu diperbodohkan lagi, cukuplah sekali ditipu, bukan untuk kedua kali. Sepatutnya kalau Azmer takutkan isterinya, takut kehilangan bisnes milik isterinya sepatutnya dia tidak bercita-cita hendak kahwin lagi.

“Kalau dulu Azmer perangkap saya menipu konon dia duda, sekarang saya pegang dia dengan kehadiran anak yang menjadi warisnya, dan dia tidak boleh lari. Saya sedar apa yang berlaku adalah kesalahan saya juga kerana percaya cakap Azmer konon dia duda dan kahwin paksa.

“Kini saya mahukan anak supaya Azmer lebih bertanggungjawab dan tidak boleh permainkan saya lagi. Dan saya tak malu jika ada teman pejabat mengutuk dan mengkeji saya konon ambil suami orang, saya terima, kerana ini takdir saya, dan belum tentu takdir mereka bahagia bersama suami hingga ke akhir hayat! Hanya Allah lebih tahu.’’ Demikian keputusan muktamad Nor Cempaka menceritakan masalahnya. Kepada ibu ibu tunggal yang ingin tahu tentang aktiviti KSIT pada bulan Disember ini sila hubungi 019-2393419.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN