KUALA LUMPUR 7 Dis. – Alasan yang diberikan kerajaan untuk membatalkan sijil Pemerbadanan Amanah Iktihar Malaysia (AIM) menimbulkan persoalan.
Perkara itu disuarakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang hairan mengapa selepas 30 tahun AIM beroperasi, kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi alasan sijil itu tidak memenuhi Suratcara Ikatan Amanah.

Asyraf Wajdi berpandangan, sekiranya memang benar wujud isu pelanggaran akta oleh AIM, kerajaan sepatutnya mengambil langkah memperbetulkan keadaan, bukannya membubarkan terus institusi tersebut.
“Jangan nanti wujud persepsi seolah-olah kerajaan dan Kementerian Kewangan yang hari ini didominasi DAP sedang merobek satu persatu institusi yang terbukti banyak membantu Melayu dan bumiputera keluar daripada belenggu kemiskinan serta berjaya menaikkan taraf ekonomi,” tegas Asyraf Wajdi menerusi kenyataan dalam Facebook hari ini.
Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin di Dewan Rakyat memberitahu, kerajaan dalam proses memulakan prosedur pembatalan sijil Pemerbadanan AIM kerana tidak memenuhi Suratcara Ikatan Amanah terutama dalam penubuhan anak-anak syarikat.
Menurut Asyraf Wajdi, AIM selama 30 tahun penubuhannya telah banyak berjasa kepada golongan miskin di negara ini.
Katanya, AIM merupakan model Grameen Bank Bangladesh menggunakan konsep pembiayaan mikro yang pernah menerima hadiah Nobel kerana berjaya mengeluarkan hampir 90 peratus golongan miskin daripada belenggu kemiskinan.










