Jangan besar kepala – Solskjaer - Utusan Malaysia

Jangan besar kepala – Solskjaer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 21 Dis. – Ole Gunnar Solskjaer hari ini mengadakan sidang akhbar pertama­nya sebagai pengendali sementara Manchester United, dan mesej yang diberikan kepada semua pemain amat jelas – kelab adalah lebih besar daripada diri sendiri.

Tahun terakhir Jose ­Mourinho di Old Trafford sebelum dipecat, Selasa lalu dibayangi isu pergaduhannya dengan bintang tengah, Paul Pogba selepas dia mendakwa pemain Perancis itu memen­tingkan diri sendiri.

Akibatnya, Pogba disisih dalam kesebelasan utama pada enam aksi terakhir ­United, malah tidak disenaraikan ketika pasukan itu seri 2-2 menentang Southampton pada 1 Disember lalu.

Solskjaer, 45, yang ter­kenal dengan reputasi ‘super sub’ sepanjang menyarung jersi United dari 1996 hingga 2007 menegaskan, dia juga tidak teragak-agak untuk menggugurkan pemain jika itu dapat membantu pasukan, sama seperti yang dilakukan mentornya, Alex Ferguson.

“Tugas saya adalah membantu pemain dan memberi peluang kepada mereka. ­Disebabkan, semua pemain mahu menjadi sebahagian daripada Manchester United, saya kena tolong mereka.

“Ketika menjadi pemain United, saya memiliki pengurus terbaik di dunia (Ferguson) dan saya banyak belajar bagaimana dia mengendalikan pemain serta berurusan de­ngan semua orang.

“Apabila anda berada di Manchester United, anda ­terikat dengan pengharapan tinggi. Semua pemain harus tahu tanggungjawab mereka.

“Saya tidak fikir, ada pemain lain yang pernah duduk di bangku simpanan lebih lama daripada saya, jadi anda kena bersedia direhatkan tetapi sentiasa berfikiran positif.

“Impak yang anda lakukan sebagai pemain gantian adalah peluang terbaik untuk membuktikan keupayaan,” ujarnya.

Tugas pertama bekas penyerang Norway itu sebagai pengurus United adalah menentang Cardiff City dalam saingan Liga Perdana Inggeris, esok.

Solskjaer bertanggungjawab memulihkan Red Devils yang kini ditinggalkan 19 mata oleh pendahulu, Liverpool, malah ketinggalan 11 mata di belakang pasukan tangga keempat, Chelsea.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×