ALOR SETAR – Beberapa jalan utama di ibu negeri akan ditutup bermula esok dan Selasa ini berikutan Perarakan Kereta Berhias bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Kedah Ke-29.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin berkata, penutupan bermula pukul 6 petang membabitkan laluan utama perarakan dari persimpangan lampu isyarat Lebuhraya Darulaman hingga ke Dataran Bandar di hadapan Masjid Zahir, di sini.
Dalam kenyataan di sini hari ini, beliau berkata turut ditutup ialah persimpangan lampu isyarat di simpang Hospital Lama Alor Setar, simpang Bakar Bata, simpang Kanchut/Bina Darulaman Sdn Bhd, simpang Tambang Badak, simpang Istana Lama, simpang Mahkamah Lama dan Simpang Pekan Melayu.
“Untuk raptai perarakan kereta berhias esok dan hari perarakan sebenar pada Selasa, semua jalan yang menghubungkan dengan laluan utama juga akan dilencongkan iaitu dari Persiaran Sultan Abdul Hamid akan dilencongkan di persimpangan lampu isyarat Bunga Tanjung menghala ke Lebuhraya Sultan Abdul Halim dan di lampu isyarat Pekan Melayu menghala ke Jalan Tunku Ibrahim (pusat bandar).
“Lencongan juga dari arah utara iaitu dari Anak Bukit yang mana kenderaan akan diarah membuat pusingan di persimpangan Hospital Lama Alor Setar ke Jalan Suka Menanti melalui jambatan Seberang Pumpong atau ke Shahab Perdana.
“Kenderaan dari Shahab Perdana akan bergerak terus di persimpangan lampu isyarat hospital lama ke arah tol utara begitu juga kenderaan dari Anak Bukit boleh membelok ke kiri ke arah tol atau ke kanan ke arah Shahab Perdana. Kenderaan dari arah Jalan Langgar, Lebuhraya Sultanah Bahiyah dan Plaza Tol Utara akan dilencongkan masuk ke lampu isyarat Alor Semadom menghala Jalan Tun Razak, Jalan Stadium, dan pusat bandar,” katanya. – Bernama










