Siapa sahaja yang tidak menggemari keropok lekor?
Tekstur yang rangup dicampur dengan rasa ikan yang sedap membuatkan ia antara hidangan snek yang sangat disukai terutama oleh kanak-kanak.
Malah, keropok lekor juga tidak ketinggalan daripada mengalami revolusi apabila mula dihidangkan bersama keju dan sebagainya.
Menyedari perubahan itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengambil inisiatif menghasilkan varieti keropok lekor cendawan yang berkhasiat untuk penggemarnya.
Inovasi tersebut menggabungkan keropok lekor dengan hirisan cendawan untuk menambah nutrisi sayuran dalam variasi produk ikan di pasaran.
Menurut Saintis Kanan Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Makanan, Nor Salasiah Mohamed, idea penghasilan keropok berkenaan tercetus apabila beliau melihat kanak-kanak amat sukar untuk mengambil sayuran dalam pemakanan seharian mereka, namun sangat menggemari snek seperti keropok lekor.
Oleh itu katanya, beliau mengambil keputusan untuk mencampurkan cendawan yang merupakan sayuran ke dalam resipi keropok lekor sekali gus menjadikan produk berkenaan lebih berkhasiat kerana mengandungi serat dan asid lemak tidak tepu.
“Objektif utama penghasilan produk inovasi ini ialah untuk merangsang perkembangan minda kognitif anak-anak melalui pengambilan sayur dalam diet harian dan boleh menjadi pengganti kepada sosej.
“Hal ini kerana ia mengandungi 1.10 gram asid lemak tidak tepu (PUFA) bagi 100 gram keropok lekor cendawan. Pengambilan PUFA yang mencukupi dalam pemakanan seharian juga baik untuk mengurangkan risiko sakit jantung,” ujarnya.
Beliau ditemui pada majlis pelancaran keropok berkenaan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Sallehhuddin Hassan di Serdang baru-baru ini sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2018. Hadir sama Setiausaha Bahagian Pembangunan kementerian itu, Datuk Naimah Ramli; Timbalan Ketua Pengarah MARDI. Dr. Rozhan Abu Dardak dan Pengarah Pusat Penyelidikan Teknologi Makanan MARDI, Hasimah Hafiz Ahmad.
Tambahnya, selain PUFA, keropok lekor berkenaan turut mengandungi serat yang membantu penghadaman. Pengambilan serat yang tinggi dapat mengurangkan risiko sakit jantung, strok, diabetes, obesiti dan hipertensi.
Selain itu, ia mengandungi protein dan beta glucan yang boleh menurunkan kolesterol selain lipoprotein dalam darah.
“Nilai pemakanan yang baik iaitu kurang kandungan lemak dan kolesterol menjadikannya sesuai untuk dijadikan sebagai snek alternatif di pasaran.
“Keropok cendawan ini juga mendapat skor yang tinggi iaitu 4.0 ke atas bagi skala penilaian 0 hingga 5 bagi ciri warna, rasa, tekstur dan penerimaan berbanding keropok tanpa cendawan dalam ujian nilai rasa oleh panel terlatih,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu jelasnya, formulasi yang dibangunkan itu berjaya menghasilkan produk yang lembut dan tidak mudah terlerai kerana ramuan yang digunakan dapat memegang campuran hirisan cendawan bersama ramuan lain semasa penyimpanan sejuk beku atau selepas digoreng.
Produk berkenaan berpotensi untuk dikomersialkan dengan harga RM13 sekilogram dan mampu bertahan sehingga setahun.
Tidak hanya memfokuskan kepada soal rasa, pembungkusan produk juga menjadi keutamaan kepada MARDI untuk meningkatkan nilai komersial produk yang dihasilkan.
Oleh itu, institut penyelidikan berkenaan telah meningkatkan teknik pemprosesan keropok keping dengan membuat pengubahsuaian kepada bentuk empat segi yang lebih seragam.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Mohamad Roff Mohd. Noor berkata, ia bertujuan memberi peluang kepada produk berkenaan untuk `terbang` ke luar negara.
“Berdasarkan konsep pembungkusan yang lebih efisien dapat memudahkan produk ini untuk dieksport ke luar negara.
“Kita mahu memastikan produk yang dihasilkan dapat dipasarkan dengan lebih meluas,” jelasnya.
Sementara itu, menurut Nor Salasiah Mohamed, pengubahsuaian formulasi dan penggunaan bekas acuan pembentuk serta penciptaan dulang pengeringan dapat memberikan bentuk empat segi yang sama selepas pengeringan.
“Keropok ikan yang berbentuk melengkung terlalu besar dan tidak seragam menyebabkannya mudah patah dan sukar dibungkus.
“Menerusi inovasi ini, isipadu keropok yang dapat diisi dalam satu pembungkus juga jadi lebih banyak, daripada 400 gram kepada 500 gram.
Selain itu, ia dapat mengurangkan kos pembungkusan, menjimatkan ruang penyusunan dan menjadikan penampilan produk lebih menarik.
Hal ini kerana keropok keping empat segi lebih mudah dibungkus di dalam plastik polietilena ketumpatan rendah (LDPE) dan kotak.
Keropok keping berkenaan dijual pada harga RM10 bagi 500 gram dan jangka hayat produk yang dibungkus dengan kotak dan plastik LDPE adalah selama setahun.










