SHAH ALAM 24 Dis. – Industri halal khususnya syarikat tempatan digesa menyesuaikan diri untuk terus kekal berdaya saing bukan hanya di peringkat domestik tetapi juga di peringkat global seiring dengan Revolusi Perindustrian keempat (Industri 4.0).
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Datuk Hasan Azhari Idris berkata, penyesuaian itu tidak dapat dielakkan dan bukan pilihan kerana ia memberi banyak manfaat kepada perkembangan industri berkenaan.

“Antara cabaran dalam mengantarabangsakan industri halal ialah berdepan dengan Industri 4.0. Kemajuan teknologi yang semakin pesat kini turut mengubah keadaan ekonomi dan pekerjaan,” katanya ketika berucap pada majlis town hall untuk kajian dan penyediaan Pelan Tindakan Hala Tuju Industri Halal Negeri Selangor 2018-2028 baru-baru ini.
Majlis itu bertujuan membentangkan perkembangan pembangunan Pelan Tindakan Khas Hala Tuju Industri Halal Negeri Selangor dan mendapatkan kerjasama pelbagai pihak bagi inisiatif-inisiatif yang telah dibangunkan dirasmikan oleh Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN), Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Hasan Azhari berkata, perkembangan industri halal di Malaysia pada hari ini secara keseluruhannya turut disokong oleh perkembangan industri kewangan Islam.
“Invest Selangor mengadakan perbincangan dengan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dan akan menjalin satu memorandum persefahaman bagi membantu serta memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapat manfaat serta menjadi pemudah cara kepada bantuan dan sokongan kewangan.
“Sebagai makluman juga, mengikut statistik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada masa kini sebanyak 2,063 buah syarikat mendapat pensijilan halal di Selangor dan dijangka meningkat kepada 2,475 (peningkatan 15 hingga 20 peratus) pada tahun berikutnya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, beberapa inisiatif dan langkah awal akan dilaksanakan antaranya memperkasakan Halal International Selangor (HIS) sebagai sebuah pusat latihan bagi melahirkan Halal Eksekutif dan Halal Auditor yang bertauliah.
Selain itu, katanya program galakan usahawan bagi mendapatkan pensijilan halal akan dipertingkat termasuk membantu PKS mendapatkan standard ISO, Analisis Kemudaratan Tahap Kritikal (HACP) dan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) bagi membolehkan produk keluaran mereka menembusi pasaran antarabangsa.
Beliau berkata, Invest Selangor juga akan mengetengahkan program produk Made in Selangor menerusi penubuhan Selangor Halal Cosmetic Valley iaitu antara projek besar yang akan dibangunkan di Selangor pada 2019. – BERNAMA










