Impian Aiman ke MRSM jadi kenyataan - Utusan Malaysia

Impian Aiman ke MRSM jadi kenyataan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL 31 Dis. – Penghujung tahun 2018 pastinya menjadi satu kenangan indah buat seorang murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari Simpang Ampat di sini apabila dia menerima surat tawaran kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun hari ini.

Muhammad Aiman Afiq Mohd. Basri, 12, yang memperoleh keputusan 6A, terpilih untuk memasuki MRSM Transkrian ternyata terkejut dengan kehadiran Rina ke rumahnya untuk menyerahkan surat tawaran serta bantuan persekolahan.

Sebelum ini, kisah Muhammad Aiman menjadi tular selepas anak pemandu lori itu gagal ditempatkan MRSM atau Sekolah Berasrama Penuh (SBP) walaupun mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR.

Muhammad Aiman yang bercita-cita mahu menjadi juruterbang berkata, dia bersyukur kerana impiannya untuk menyambung pelajaran ke MRSM tercapai.

“Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mengubah nasib keluarga saya.

“Sejak darjah lima lagi saya memang mahu menyambung pelajaran ke MRSM kerana di sana kelengkapan untuk belajar mencukupi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Simpang Ampat di sini hari ini.

Dalam pada itu, ibu Aiman, Rashidah Ali, 45, berkata, Aiman yang merupakan anak sulung dari dua beradik itu diharapkan dapat menjadi contoh kepada adiknya serta pelajar lain.

“Aiman bimbang kerana tahu ayahnya tidak mampu membiayai kos pendidikannya, tetapi saya tahu dia teringin sangat belajar di MRSM.

“Syukur kerana impiannya berjaya dan saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua yang membantu Aiman,” katanya.

Sementara itu, Rina berkata, Aiman sebenarnya bukan tidak terpilih untuk ke MRSM tetapi senarai namanya sedikit lambat berada dalam sistem kerana pihak MRSM masih mengemas kini data pelajar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN