NEW YORK 26 Dis. – Ekonomi dunia dijangka merasai kesan perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China pada 2019 selepas ketegangan yang tercetus pada tahun ini menimbulkan ketidaktentuan kepada pasaran global.
Perdagangan Global Bloomberg mendapati jumlah eksport semakin menurun susulan ancaman tarif walaupun kedua-dua negara sedang berusaha memperbaiki hubungan dagangan yang terjejas.
Pengeluar kamera AS, GoPro Inc. akan memindahkan pengeluarannya dari China menjelang musim panas menjadikannya antara jenama elektronik gergasi yang mengambil tindakan demikian. FedEx Corp. baru-baru ini menyemak kembali unjuran keuntungan dan kapasiti pengangkutan udara antarabangsanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Prologis Inc., Hamid Moghadam berkata, sebarang campur tangan dalam perdagangan hanya akan membebankan ekonomi dan menjadikannya lebih perlahan.
Pasaran kewangan turut menerima tempiasnya. Bank AS, Merrill Lynch menjangkakan berita perang dagangan menyebabkan penurunan bersih enam peratus dalam S&P 500 pada 2018 dan pasaran saham China kerugian sebanyak AS$2 trilion (RM8.36 trilion).
Data terbaharu menunjukkan krisis yang berlaku mempengaruhi pertumbuhan AS pada tahun hadapan. Pengguna negara itu merasakan kurang optimis terhadap ekonomi manakala perniagaan kecil yakin penambahbaikan ekonomi telah jatuh dan menikmati keuntungan yang kecil.
Ahli ekonomi Bloomberg, Tom Orlik berpendapat ancaman perang dagangan tidak hilang tetapi semakin berkembang.
“Tiga risiko utama iaitu rundingan 90 hari AS-China mungkin akan gagal sekali gus menyebabkan tarif lebih tinggi. Kedua adalah eksport hadapan 2018 akan menurun dan yang terakhir kesan kepada perniagaan seperti penurunan dalam permintaan,” katanya.
Tabung Kewangan Antarabangsa menjangkakan unjuran perdagangan 2019 adalah pada kadar empat peratus berbanding 4.2 peratus pada tahun semasa dan 5.2 peratus pada 2017.
Eropah turut tidak terkecuali. AS meletakkan tarif terhadap import automotif dari Eropah dan Jepun yang mana tindakan itu akan menjejaskan hubungan antara kuasa ekonomi dunia. – AGENSI










