Hormati keputusan Nurul Izzah - Anwar - Utusan Malaysia

Hormati keputusan Nurul Izzah – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa ahli parti dan rakyat Malaysia menghormati keputusan ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar meletak jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataan hari ini, Anwar berkata, ia tidak dapat disangkal bahawa keputusan itu adalah satu kerugian besar bukan sahaja kepada ahli PKR tetapi juga kepada seluruh negara.

“Saya dan Nurul Izzah telah membincangkan secara panjang lebar mengenai hasratnya untuk meletak jawatan. Bukan kehendak saya untuk mengumumkan butiran, tetapi saya tahu bahawa berdasarkan tempo perkembangan politik yang tidak henti-henti selama sembilan bulan terakhir,

“Dia letih dan kecewa dengan percaturan oleh mereka yang lebih berminat bermain politik dan tidak memberi tumpuan untuk membantu rakyat.

“Walaupun dilantik sebagai Naib Presiden dengan majoriti besar dan dilantik Pengerusi PKR Pulau Pinang dengan sokongan majoriti ketua-ketua parti di negeri itu, beliau memilih untuk meletak jawatan. Oleh itu, berilah ruang untuk beliau membuat keputusan mengenai tindakan seterusnya, ” kata beliau.

Nurul Izzah, yang dikenali sebagai “Puteri Reformasi” semasa awal pergerakan reformasi mengumumkan keputusan meletak jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang. Bagaimanapun beliau akan kekal sebagai ahli biasa PKR dan ahli Parlimen Permatang  Pauh sehingga tamat tempoh penggal. – Bernama
 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×