Himpunan ICERD: Tunggu kelulusan DBKL - Utusan Malaysia

Himpunan ICERD: Tunggu kelulusan DBKL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Nov. – Perhimpunan ‘kesyukuran’ meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dijangka tidak menghadapi masalah untuk diteruskan mengikut jadual.

Perhimpunan yang dijangka berlangsung di Dataran Merdeka pada 8 Disember depan itu kini hanya menunggu kelulusan permohonan permit penganjuran perhimpunan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Keyakinan itu disuarakan oleh Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yah­ya memandangkan pi­haknya menerima respon positif daripada DBKL dan juga pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meneruskan himpunan berkenaan.

Jelas beliau, sebagai penganjur, Ummah telah pun menyerahkan permohonan permit perhimpunan pada Isnin lalu selepas mendapat nasihat daripada PDRM.

“Setakat ini, pihak PDRM tiada sebarang masalah memberi kerjasama, malah berikan kebenaran untuk kami terus menganjurkan perhimpunan berkenaan. Cuma, polis meminta kami berhubung dengan DBKL bagi mendapatkan permit kebenaran.

“Kami sudah pun menyerahkan permohonan itu Isnin lalu tetapi ketika ini masih menunggu kelulusan DBKL. Saya yakin tiada sebarang masalah dan kami boleh teruskan himpunan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, polis sudah memanggil wakil UMNO dan Pas berhubung rancangan mengadakan perhimpunan ICERD, namun tidak dapat membuat keputusan untuk membenarkan perhimpunan sekiranya mereka tidak membuat permohonan dengan DBKL.

Aminuddin berkata, pihaknya yakin dapat menarik ratusan ribu rakyat untuk turun ke ibu negara bagi menyatakan sokongan.

“Kita bukan sahaja meraikan kejayaan menolak ICERD tetapi juga menyatakan solidariti dalam beberapa perkara lain termasuk mahukan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencari pengganti Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy,” katanya.

Dalam pada itu, usaha Utusan Malaysia menghubungi Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berhubung kelulusan permit perhimpunan itu tidak berjaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN