KUALA LUMPUR 21 Dis. – Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan memahami kemelut yang sedang dihadapi parti itu dan mahu menghentikan ‘pendarahan’ yang berlaku.
Baginya, tindakan Ahli-ahli Parlimen UMNO yang mahu meninggalkan parti perlu dihentikan dan beliau sendiri akan bersemuka dengan mereka bagi mententeramkan keadaan selain menanam semula keyakinan terhadap parti tersebut.
Perkembangan terkini yang berlaku terutama keputusan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk bercuti dirasakan telah berjaya meredakan tekanan dan ura-ura bakal berlaku lagi gelombang Ahli Parlimen UMNO keluar daripada parti.
‘‘Kita mahu hentikan ‘pendarahan’ ini. Saya akan berjumpa dengan Ahli-ahli Parlimen ini dan berdasarkan percakapan dan perbualan, keadaan mula reda dan mereka berpuas hati dengan keadaan sekarang.
‘‘Saya dan rakan kepemimpinan UMNO akan bersama-sama pastikan Ahli-ahli Parlimen ini selesa dengan kepemimpinan sekarang dan supaya hasrat mereka untuk melompat parti dapat dihentikan, Insya-Allah,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Khas UMNO di Menara Dato Onn, di sini hari ini.
Ia merupakan sidang akhbar pertama beliau setelah dilantik untuk menjalankan tugas-tugas presiden parti.
Jelas Mohamad, dalam mesyuarat yang diadakan, kepemimpinan UMNO menerima keputusan Ahmad Zahid untuk menyerahkan tugas kepada beliau.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu juga berkata, kuasa yang lebih akan diberikan kepada UMNO negeri supaya tidak terlalu bergantung kepada kepemimpinan Pusat.
Malah, kata beliau, parti itu kini memberi autonomi penuh kepada UMNO Sabah untuk membentuk kembali kepemimpinan negeri susulan beberapa Ahli Parlimen UMNO negeri tersebut keluar daripada parti.
‘‘Sekarang ini terlalu tertumpu kepada ibu pejabat, kita mahu Pengerusi Perhubungan Negeri dan ketua bahagian di setiap negeri mengatur strategi kerana mereka lebih memahami apa yang berlaku di tempat mereka kerana setiap tempat mempunyai pendekatan berbeza,” katanya.
Mohamad berkata, misalnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada bulan depan akan diketuai oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri, dan bukan lagi oleh Timbalan Presiden UMNO atau Timbalan Pengerusi BN.











