MOSCOW 7 Dis. – Dunia perubatan maju setapak ke hadapan apabila saintis Rusia berjaya menghasilkan kelenjar tiroid tikus dengan menggunakan pencetak bio tiga dimensi di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).
Portal RT melaporkan, kejayaan luar biasa itu membuktikan organ manusia juga dapat dihasilkan di angkasa lepas dengan menggunakan mesin yang sama.
Mesin dipanggil Organaut itu dihantar ke ISS semasa Ekspedisi 58 menggunakan kapal angkasa Soyuz MS-11, 3 Disember lalu.
Lebih menakjubkan, proses penghasilan tiroid tersebut berlaku dalam persekitaran sifar graviti.
Mesin pencetak itu dicipta Invitro, satu daripada sebuah anak syarikat 3D Bioprinting Solutions.
Menurut Invitro, pihaknya mengesahkan telah menerima visual menunjukkan kejayaan penghasilan tiroid tersebut.
“Kami menerima imej dari ruang angkasa yang jelas menunjukkan binaan tiroid tikus yang berlaku dengan baik,” katanya kepada agensi berita Rusia, Ria Novosti.
Spesimen tersebut bakal dihantar ke bumi untuk dianalisis dan hanya akan didedahkan kepada umum pada Februari tahun hadapan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invitro, Aleksandr Ostrovsky berkata, proses matang organ dan tisu yang dicetak menggunakan mesin tersebut berlaku lebih cepat dan efisien dalam persekitaran sifar graviti berbanding di bumi.
Katanya, kejayaan pencetakan organ di luar bumi akan membuka laluan kepada penghasilan tisu manusia dengan kaedah dan persekitaran yang sama.
Ditanya mengenai sama ada pencetak tersebut mampu mencetak organ manusia di ISS, Ostrovsky menjawab, tiada yang mustahil.
“Persoalannya sekarang adalah tentang kos dan ketika ini kami sedang berusaha menghasilkan pencetak bio yang baharu,” tambahnya.










