KUALA LUMPUR 2 Dis. – Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe percaya anak-anak buahnya mampu bangkit menghadapi Thailand dalam separuh akhir kedua Piala AFF meskipun beraksi di kubu lawan, Rabu ini.
Skuad Gajah Perang dilihat kebal dan ganas setiap kali beraksi di Stadium Rajamangala, Bangkok apabila meledak 14 gol dalam tiga perlawanan Kumpulan B.
Bagaimanapun Cheng Hoe percaya, melihat kepada aksi yang dipamer anak-anak buahnya di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam, mereka mampu melakar kejutan.
“Sekiranya kami boleh bermain seperti malam ini (semalam) dan kekalkan fokus, saya yakin kami mampu memperoleh gol di Thailand.
“Saya dapat rasakan pemain boleh mengatasi tekanan beraksi di hadapan ribuan penyokong tuan rumah dan memberi kejutan, sekali gus pulang dengan keputusan positif.
“Bermain di Stadium Rajamangala memang tidak mudah kerana Thailand telah meledak 14 gol di sana.
“Begitu pun, kami hanya perlu bermain dengan corak permainan sendiri, terus mencari peluang dan membolosi gawang mereka,” kata Cheng Hoe kepada pemberita di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Malaysia perlu sekurang-kurangnya seri 1-1 untuk menempah tiket ke final berdasarkan peraturan gol di tempat lawan.
“Saya gembira kami berjaya mempertahankan gawang daripada dibolosi kerana itu sekurang-kurangnya memberi harapan lebih baik.
“Kami menjangkakan Thailand akan tambil bersama permainan hampir sama apabila beraksi di tempat mereka.
“Apa yang penting buat pemain, ikut perancangan dan berdisiplin sepanjang perlawanan.
“Mereka juga kena lebih yakin apabila berada di depan pintu gol lawan. Ketenangan juga diperlukan dalam situasi genting.
“Secara keseluruhan, Malaysia bermain dengan baik hari ini,” katanya lagi.










