KUALA LUMPUR 28 Dis. – Majlis pertunangan pasangan Tengku Nurul Atika Nabiha Tengku Roslan, 23, dan Mohamed Ibtisam Syafiq Azmi, 23, yang menjadikan seekor kucing sebagai hantaran dilihat mampu memupuk serta menyemai sikap sayangkan haiwan.
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, perkara itu tidak menjadi kesalahan kerana pemberian kucing itu adalah hadiah dalam majlis pertunangan dan bukan sebagai hantaran ataupun mas kahwin.
“Tiada masalah mahu jadikan kucing sebagai hantaran, kita sedia maklum hantaran adalah hadiah dan hanya adat masyarakat Melayu.
“Jadi terpulang kepada pasangan itu untuk memberikan apa sahaja asalkan bukan mas kahwin atau barangan yang boleh memudaratkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia mengenai pasangan dari Pahang yang menjadikan kucing kacukan jenis baka Parsi dan British Short Hair sebagai salah satu daripada hantaran pertunangan.
Mohd. Yusof berkata, hanya pemberian yang berbentuk penghinaan, amaran atau yang boleh memudaratkan tidak dibenarkan.
Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, secara hukumnya, setiap hantaran perkahwinan atau mas kahwin yang diketengahkan Islam adalah barangan yang mempunyai nilai seperti mata wang ataupun emas.
“Dalam isu ini, mereka hanya mengikat tali perhubungan dalam majlis pertunangan sahaja, bukan majlis perkahwinan,” jelasnya.










