DUNGUN 26 Dis. – Seorang guru tercampak keluar dari kereta yang dipandunya dan meninggal dunia di tempat kejadian setelah kereta yang dipandunya terbabas lalu melanggar besi pembahagi jalan di Kilometer 362.9,Lebuh Raya Pantai Timur ( LPT 2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Kuala Dungun di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu, Noraini Mohd., 34, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Sedia Raja, Rembau, Negeri Sembilan, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.
Beliau memberitahu, ketika kejadian mangsa yang berasal daripada Manir, Kuala Terengganu dikatakan dalam perjalanan ke Rembau, Negeri Sembilan untuk kembali bertugas menjelang sesi baharu persekolahan tidak lama lagi.
“Mangsa yang memandu bersendirian dikatakan dalam perjalanan pulang ke kediamannya untuk memulakan sesi persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi.
“Setiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan sebelum melanggar besi pembahagi jalan menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan raya,” katanya.
Tambah beliau, pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian. – UTUSAN ONLINE










